Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri mesti yakinkan PN tidak musuhi media dan kebebasan suara

‪Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah digesa untuk bertindak segera meyakinkan para wartawan, editor dan warga media bahawa kerajaan hari ini tidak bersikap memusuhi media atau kebebasan bersuara.

Perkara itu disuarakan anggota Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, yang menegaskan kerajaan juga perlu memberi komitmen agar tindakan-tindakan tekanan terhadap media akan dihentikan segera.

Turut ditekankan, kata Fahmi, ialah kesungguhan Perikatan Nasional (PN) untuk mewujudkan Majlis Media Malaysia.

"‪Saya juga gesa kerajaan agar meneruskan usaha mewujudkan Majlis Media Malaysia agar isu-isu berkaitan media dapat dibincang dan diusahakan secara sistematik, tanpa menjejaskan persepsi umum termasuk komuniti antarabangsa, dan tanpa menyebabkan media menjadi pak turut kerajaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob membidas media antarabangsa Al Jazeera sebagai tidak beretika dalam menghasilkan laporan dokumentari yang menggambarkan kerajaan bersikap kejam terhadap imigran tanpa dokumen.

Ismail Sabri berkata dokumentari Al Jazeera adalah satu pembohongan kerana kerajaan tidak hanya mengurung imigran, tetapi semua orang di kawasan tertentu yang mempunyai kes Covid-19 yang tinggi.

Al Jazeera sebelum ini dalam satu dokumentasi mendakwa Putrajaya berlaku kejam terhadap warga asing dengan menahan mereka ketika tempoh perintah kawalan pergerakan.

Jejas kedudukan negara

Sementara itu Fahmi yang juga jurucakap komunikasi, seni dan budaya PRK berkata, pihaknya kesal dengan tindakan memberi tekanan kepada warga media, termasuk yang terkini melibatkan Al Jazeera. ‬

‪Katanya, media perlu memainkan peranan melapor dengan bebas namun ia tidak bermaksud media bebas menerbitkan berita palsu atau tidak sahih.‬

"Proses semak dan imbang ini memerlukan bukan sahaja kerajaan yang faham fungsi media dalam memantau perjalanan pentadbiran dan media yang beretika, tetapi juga rakyat yang mampu menilai maklumat yang disampaikan kerajaan dan media.‬

"Menteri ‪perlu segera bertemu dengan jawatankuasa sementara Majlis Media Malaysia sebagai tanda komitmen beliau sendiri terhadap kebebasan media.

"Kegagalan atau keengganan bertemu jawatankuasa tersebut bermaksud beliau dan kerajaan tidak lagi komited kepada prinsip kebebasan media," ujarnya.

Tambah Fahmi, pada ‪April lalu Malaysia dilaporkan berada di tangga ke-101 dalam indeks Kebebasan Media 2020.

"Malangnya, tindakan-tindakan yang diambil terhadap media di bawah PN jelas akan menjejaskan kedudukan negara dalam carta Reporters sans frontières (RSF).

"‪Media yang bebas adalah tiang seri demokrasi. ‬‪Bila media dikongkong, minda rakyat bakal terkurung," tegasnya.