Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengurusan kes saman Pua pada Najib berkaitan 1MDB pada 2 Dis

Kes saman difailkan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas dakwaan melakukan salah laku dalam jawatan awam berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditetapkan untuk pengurusan kes selanjutnya pada 2 Dis ini.

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan mewakili Najib memberitahu pemberita bahawa tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusof dalam kamarnya hari ini, dengan dihadiri peguam Tan Cheng Leong mewakili Pua dan Peguam Kanan Persekutuan Habibah Haron bagi pihak kerajaan Malaysia.

"Pada pengurusan kes itu, pihak-pihak akan memaklumkan status kes jenayah Najib membabitkan 1MDB yang kini masih dalam peringkat perbicaraan," katanya.

Pada 6 Jan lepas, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk menggantung prosiding kes saman sivil itu sementara menunggu perbicaraan kes jenayah 1MDB yang dihadapinya selesai.

Dalam perbicaraan kes 1MDB, saksi pendakwaan ke-9 iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi akan menyambung keterangannya pada 15 Julai ini.

Pua memfailkan saman terhadap Najib dan kerajaan pada 16 Jan 2017 atas dakwaan Najib terlibat dalam salah laku pentadbiran awam dan kerajaan membabitkan 1MDB dan menuntut ganti rugi am, tambahan dan teladan, faedah, kos serta relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Pua mendakwa Najib adalah seorang pegawai awam kerana beliau ialah Ahli Parlimen Pekan, perdana menteri pada ketika itu dan pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, dan dalam kapasiti berkenaan beliau mempunyai peranan secara langsung dan tidak langsung dalam membuat keputusan dan hala tuju 1MDB.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini menolak saman Pua atas alasan Najib bukan seorang pegawai awam dan dengan itu beliau tidak boleh disaman atas dakwaan salah guna kedudukan jawatan awam.

Pua juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada Julai 2018 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, selepas rayuannya ditolak.

Bagaimanapun beliau mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 19 Nov 2019, Mahkamah Persekutuan memutuskan Najib semasa menjadi perdana menteri adalah seorang pegawai awam dan boleh disaman atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam.

Mahkamah itu memutuskan Pua boleh meneruskan samannya terhadap Najib dan kerajaan Malaysia melalui perbicaraan di Mahkamah Tinggi Sivil.

-Bernama