Warga emas ditahan kes rogol anak kandung, anak tiri
Polis menahan seorang pesara kerajaan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan merogol anak kandung yang juga orang kurang upaya (OKU) berusia 11 tahun dan anak tirinya, 17, sejak beberapa tahun lepas di rumah mereka di Tasek Gelugor.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 65 tahun itu ditahan pada Jumaat lepas susulan laporan polis yang dibuat oleh isterinya yang juga ibu kepada kedua-dua mangsa.
“Kejadian terbongkar selepas isterinya yang berusia 47 tahun mengesan perubahan sikap anak perempuan OKUnya yang suka menyendiri dan bercakap seorang diri selain banyak berkurung di dalam bilik.
“Kanak-kanak itu yang cacat penglihatan mata kanan serta lambat menerima pembelajaran kemudian dibawa oleh ibunya berjumpa dengan guru disiplin dan guru pendidikan khas di sekolah sebelum mangsa mula menceritakan kejadian yang menimpa dirinya,” katanya kepada Bernama hari ini.
Menurut Noorzainy (gambar, atas), kanak-kanak itu mendakwa mula dirogol oleh bapa kandungnya sejak 2019 namun tidak berani menceritakan kepada sesiapa kerana suspek mengugut akan memukulnya.
Sebaik pulang ke rumah, ibu mangsa bertanyakan perkara sama kepada anak perempuannya yang berusia 17 tahun dan remaja berkenaan mengaku sering dirogol oleh bapa tirinya sejak lima tahun lepas.
"Menurut remaja itu dia dirogol sekurang-kurangnya dua kali seminggu ketika ibunya tiada di rumah kerana bekerja.
Polis telah merakamkan percakapan kedua-dua mangsa dan mereka turut dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Beliau berkata lelaki warga emas berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai