Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis cekup individu disyaki ceroboh asrama perempuan, cabul pelajar

Polis menahan seorang tukang kebun kerana disyaki menceroboh dan mencabul seorang pelajar perempuan tingkatan lima di sebuah asrama sekolah di Kemaman semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata lelaki berumur 32 tahun itu dikatakan memakai topeng muka dan bersembunyi di bawah katil, kira-kira pukul tiga pagi.

“Dalam kejadian itu, suspek dikatakan telah keluar dari bawah katil secara tiba-tiba dan terus menghampiri tiga pelajar perempuan, lalu meminta telefon bimbit sambil meraba seorang daripadanya di bahagian paha.

“Suspek turut mengugut pelajar berkenaan supaya berdiam diri dan mengancam dengan menyatakan dia mempunyai pisau. Bagaimanapun, seorang daripada pelajar itu nekad menjerit meminta tolong dan melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hanyan berkata suspek pada awalnya cuba mengejar pelajar itu namun akhirnya dia melarikan diri.

Kejadian itu hanya diketahui oleh warden apabila menerima aduan melalui aplikasi WhatsApp oleh seorang pelajar perempuan tingkatan lima, kira-kira pukul 3.15 pagi.

“Hasil rondaan warden dan pengawal keselamatan mendapati pagar asrama telah dipotong dan pisau pemotong dijumpai di bawah katil pelajar yang dikatakan suspek bersembunyi,” katanya yang turut mengesahkan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini untuk ditahan reman bagi membantu siasatan.

Selain itu, Hanyan berkata pada Jumaat lepas, seramai 28 lelaki termasuk dua warga Indonesia telah ditahan ekoran terbabit judi sabung ayam di Jalan Ibok, Ayer Jernih, di Kemaman.

Katanya, ia adalah hasil serbuan ke atas sebuah pondok yang dijadikan gelanggang aktiviti tersebut dan didapati ia telah berlaku sejak setahun lalu dan dianjurkan oleh seorang penduduk setempat berumur 40 tahun pada setiap Jumaat, dua kali sebulan.

-Bernama