Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jabatan Penjara dakwa Mugilarasu mati kerana serangan jantung

Jabatan Penjara mendakwa V Mugilarasu, lelaki berusia 35 tahun yang meninggal dunia di Sungai Buloh ketika menunggu perbicaraan di mahkamah, mengalami serangan jantung.

"Keputusan post-mortem (bedah siasat) menunjukkan serangan jantung," kata seorang jurucakap jabatan itu kepada Malaysiakini.

Peguam keluarga mendiang, A Sheelan sebelum ini mendakwa terdapat tanda-tanda kecederaan di badannya.

"Memang ada bengkak-bengkak di muka. Tapi, pakar (patologi forensik) kata kena bedah, kerana mendiang berkulit gelap, kena kopek kulit untuk nampak kesan-kesan lebam (jika ada).

"Anda boleh tengok hidung masih berdarah...ada darah kering di gigi dan kesan bengkak di (sekitar) kening dan pipi kiri, begitu juga dahi," katanya.

Sheelan berkata, post-mortem sangat penting bagi menolak sebarang unsur jenayah.

Mugilarasu meninggal dunia di Penjara Sungai Buloh pada 2 Julai lalu. Dia dibawah tahanan reman sejak Mac 2019 dan perbicaraan kesnya dijadualkan pada 12 Ogos di Mahkamah Tinggi Shah Alam.