Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Shazni Munir kini ketua pemuda Amanah

Shazni Munir Mohd Ithin kini sah dilantik menjadi ketua pemuda Amanah yang baru.

Menurut pengarah komunikasi sayap Amanah itu, Khairuddin Daud, pemilihan itu diputuskan dalam satu satu mesyuarat khas pemilihan ketua pemuda Amanah di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur.

Shazni sebelum ini merupakan naib ketua pemuda Amanah.

“Seramai 34 exco Pemuda Amanah termasuk ketua-ketua Pemuda Amanah negeri seluruh Malaysia, terlibat dalam pemilihan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shazni mengisi jawatan itu setelah bekas ketua pemuda Amanah, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang juga Adun Titi Serong, keluar parti untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) di Perak.

Dalam mesyuarat itu juga, Muhammad Taqiuddin Cheman dilantik sebagai timbalan ketua pemuda, manakala Mohd Hisyamudin Ghazali pula dilantik sebagai naib ketua pemuda.

Susulan itu, Shazni berkata tumpuannya kini sebagai ketua Pemuda Amanah yang baru adalah mengambil alih semula Putrajaya.

Selain itu, katanya, dia akan menyusun kembali gerakan anak muda, dalam dan luar parti politik serta memperkukuhkan kesatuan Pemuda Amanah melalui aktiviti yang dekat dengan pengundi baru.

Sebelum ini, Hasnul Zulkarnain, bersama Adun Tronoh Paul Yong Choo Keong dan Adun Buntong A Sivasubramaniam, serta Adun Pengkalan Batu Norhizam Hassan Baktee dari DAP  (di Melaka) dilucutkan keahlian mereka oleh parti komponen masing-masing pada Mac setelah menyokong PN.

Langkah itu mereka ambil setelah Bersatu keluar daripada gabungan PH, menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri di kedua-dua negeri beralih tangan kepada PN.