PRK Chini: 20,816 pengundi dijadual mengundi hari ini
PRK CHINI | Pilihan raya kecil DUN Chini akan berlangsung hari ini di Pahang.
Kira-kira 20,816 pengundi dijadualkan mengundi untuk memilih salah satu daripada tiga calon - Mohd Sharim Md Zain, 41, dari BN dan dua calon bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan pemblog Mohd Shukri Mohd Ramli.
Tengku Zainul adalah timbalan ketua Pekan Bersatu ketika dia mengumumkan hasratnya untuk menentang Mohd Sharim, peneroka Felda Chini generasi kedua, yang menyebabkan keahliannya secara automatik ditamatkan oleh parti.
Tengku Zainul mendakwa dia memutuskan untuk bertanding setelah berbincang dengan rakan parti, penyokong dan peneroka Felda Chini, walaupun terpaksa mempertaruhkan keanggotaan dan jawatannya.
Walaupun tidak meletakkannya sebagai calon, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mengetuai kem Bersatu yang menentang presiden parti Muhyiddin Yassin, telah menyatakan sokongan peribadinya kepada Tengku Zainul.
Sementara itu, Mohd Shukri, bekas ahli PKR, menafikan dakwaan yang menuduh pencalonannya ditaja oleh PKR.
Parti Perikatan Nasional (PN), iaitu PAS dan Bersatu tidak meletakkan calon untuk memberi laluan kepada Umno, sementara Pakatan Harapan (PH) juga memutuskan untuk tidak meletakkan calon di kerusi yang dianggap kubu kuat Umno.
Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, susulan serangan jantung pada 6 Mei.
Kerusi majoriti Melayu itu juga merupakan salah satu daripada empat kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Pekan yang dipegang oleh bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.
Pada PRU14, Abu Bakar memperoleh majoriti 4,622 untuk menang menentang calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).
Selaras dengan amalan normal baru berikutan pandemik Covid-19, calon pada awalnya tidak diizinkan mengadakan kempen dari rumah ke rumah dan perhimpunan ceramah.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian melonggarkan keputusan ini, dengan maksimum 250 orang dibenarkan menghadiri ceramah dalam satu masa.
Namun, sentuhan atau jabat tangan antara calon dengan pengundi masih tidak diizinkan selama berkempen.
SPR menjangkakan 70 peratus pengundi hari ini keluar mengundi dan telah melantik 32 pemerhati pilihan raya dari agensi kerajaan, NGO dan individu yang berkelayakan untuk memantau proses pemilihan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai