Polis rekod kenyataan artis isu kulit buku mirip Jata Negara
Polis telah merakam kenyataan artis yang mereka karya pada kulit buku 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia' yang didakwa menyerupai Jata Negara.
Timbalan Pengarah (Siasatan/ Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan perkara ini kepada Malaysiakini semalam (3 Julai).
"Kami telah merakam kenyataan artis itu (pada 2 Julai)," katanya.
Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman telah merakam kenyataan itu.
Siasatan itu dilakukan beberapa hari selepas polis menyerbu syarikat penerbit Gerakbudaya di Petaling Jaya pada 30 Jun.
Polis telah menerima 32 laporan mengenai kulit buku kontroversi yang didakwa sesetengah pihak sebagai menghina lambang negara.
Isu itu mendorong Kementerian Dalam Negeri mengarahkan pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas.
Menterinya, Hamzah Zainudin menegaskan bahawa menjadi suatu kesalahan meniru lambang jata negara di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama 1963.
Polis ketika melakukan serbuan telah merampas 313 unit buku itu dan merakam kenyataan pengarah Gerakbudaya, Chong Ton Sin.
Sebelum itu, Chong mengeluarkan permohonan maaf kepada siapa pun yang tersinggung dengan kulit buku itu, berkata beliau tidak berhasrat untuk menghina sesiapa atau berniat buruk dengan menggunakan gambar tersebut.
Menurut pereka grafik Fahmi Reza, gambar yang digunakan pada kulit buku itu adalah lukisan minyak yang dipamerkan secara terbuka enam tahun lalu ketika negara berada di bawah pemerintahan BN.
Buku itu adalah kompilasi artikel yang ditulis oleh pelbagai penulis mengenai perubahan pemerintahan pada tahun 2018 yang disunting oleh Kean Wong. Susulan kontroversi, Kementerian Dalam Negeri mewartakan larangan terhadap buku itu pada Isnin lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai