Laporan bedah siasat Mugilarasu djangka diserah esok - Peguam
Mayat V Mugilarasu yang meninggal dunia di Penjara Sungai Buloh malam tadi, sedang menjalani bedah siasat di Hospital Sungai Buloh.
Menurut peguam yang mewakili keluarga mangsa, A Sheelan, mayat dan laporan bedah siasat akan diserahkan kepada keluarga mangsa esok.
Bercakap kepada Malaysiakini, Sheelan memberitahu dia bersama abang mangsa, V Karunakaran Pillai telah dibenarkan melihat mayat itu petang tadi.
“Memang ada bengkak-bengkak di muka. Tapi, pakar (patologi forensik) kata kena bedah, kerana mendiang berkulit gelap, kena kopek kulit untuk nampak kesan-kesan lebam (jika ada).
“Mulut pun kita boleh nampak kesan darah kering di gigi. Bahagian pipi dan kening sebelah kiri, dan dahi, memang ada kesan bengkak.
“Pakar kata kena buka (bedah siasat), baru kita tahu ini kesan daripada jatuh atau kesan daripada foul play atau tidak,” katanya kepada Malaysiakini malam ini.
Laporan polis dibuat
Menurut Sheelan, keluarga Mugilarasu hanya dimaklumkan kematiannya selepas jam 11 malam semalam, sedangkan mendiang dikatakan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital setelah terjatuh akibat sakit dada pada sebelah petangnya.
Dakwanya, keadaan mendiang masih baik ketika bercakap malah sempat bergurau senda bersama abangnya melalui panggilan telefon pada jam 4.30 petang semalam.
“Sekitar 4.30 petang, dia bercakap dengan abangnya, keadaannya baik, bergurau dan ketawa. Pukul 6 petang, terima panggilan dia dikejarkan ke hospital [...] Sekitar jam 11, menerima panggilan, meninggal dunia.
“[...] Kami dimaklumkan, dia meninggal dalam perjalanan (ke hospital). Jadi kenapa maklumkan keluarga pada jam 11 malam? Tak masuk akal,” katanya yang memaklumkan bahawa mangsa tidak mempunyai masalah kesihatan kronik dan tidak pernah didiagonosis dengan masalah jantung.
Karunakaran telah membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Sungai Buloh kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, kerana mengesyaki terdapat kecurangan dalam kematian adiknya itu.
Dalam perkembangan terbaru, kata Sheelan, dia dimaklumkan bahawa pasukan forensik perubatan telah pergi ke Penjara Sungai Buloh untuk berjumpa dengan pegawai perubatan di sana, dan telah melawat sel mendiang serta tempat yang dikatakan mendiang terjatuh, selain mengambil gambar.
Tambahnya, dia berasa lega kerana diberikan jaminan oleh pakar forensik patologi yang terbabit, bahawa bedah siasat akan dijalankan dengan baik tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Katanya, dia ada mendengar sendiri jaminan pakar itu bahawa pemeriksaan teliti akan dilakukan bagi memastikan sama ada insiden itu adalah benar-benar akibat kemalangan atau pun melibatkan ‘foul play’.
“Saya sangat lega mendengar jaminan tersebut,” katanya lagi.
Polis: Tak benar dakwaan kematian gagal dilapor pada koroner
Mengulas laporan bedah siasat yang dijangka diterima esok, Sheelan berkata dia akan berbincang dengan keluarga mangsa tentang langkah seterusnya yang akan diambil, sama ada memfailkan permohonan bedah siasat kedua, atau pun memfailkan permohonan inkues pada minggu hadapan.
Inkues merupakan siasatan rasmi untuk mengenal pasti punca sebenar kematian seseorang.
Mugilarasu, 35, ditahan reman sejak Mac 2019 atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Perbicaraan kesnya dijadualkan pada 12 Ogos di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Noor Azam Jamaludin (gambar, atas) pada malam ini membantah dakwaan polis tidak memaklumkan kepada koroner berhubung kematian Mugilarasu di penjara Sungai Buloh, berkata ia "adalah tidak benar sama sekali."
Noor Azam memberitahu Malaysiakini, Kementerian Kesihatan telah menetapkan protokol agar sebarang kematian dihantar ke hospital untuk ujian Covid-19 terlebih dahulu sebelum bedah siasat dapat dilakukan.
"Untuk makluman, mana-mana kematian akan dirujuk ke pihak hospital untuk ujian Covid-19.
"Apabila dapat keputusan barulah post mortem (PM) dapat dilakukan. Sebelum keputusan bedah siasat diketahui sesiapa pun tidak dibenarkan melawat atau menziarahi si mati.
"Itu adalah SOP yang dikeluarkan oleh pihak KKM. Kematian ini berlaku di penjara Sungai Buluh bukannya dalam tahanan polis," jelas beliau.
Terdahulu, NGO Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) mendakwa pihak polis gagal melaporkan kematian Mugilarasu kepada koroner Selangor, setakat petang tadi.
“Kami terkejut apabila mendapat tahu bahawa setakat 4 petang hari ini (3 Julai), polis belum memaklumkan kepada koroner negeri Selangor tentang kematian Mugilarasu- meskipun malam tadi (2 Juali), pada jam 11.15 malam, polis telah memaklumkan hal itu kepada abangnya, Karunakaran yang mengesahkan identiti si mati pagi ini," dakwa kumpulan itu dalam suatu kenyataan.
Jelas Edict lagi, Kanun Tatacara Jenayah memerlukan polis melaporkan kematian itu kepada koroner dengan segera, dan adalah menjadi amalan biasa untuk koroner memeriksa mayat in-situ (di tempat kematian), dan koroner mesti menjalankan inkues ke atas kematian tersebut.
Selain itu, kumpulan itu turut menggesa Ketua Polis Negara Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin untuk memberi penjelasan terhadap kebimbangan awam yang semakin meningkat berhubung jumlah kematian dalam tahanan.
“Kami menggesa mereka untuk membuat satu prosedur operasi standard khusus berkenaan kematian dan penganiayaan dalam tahanan, lokap dan pusat tahanan lain.
“Hanya dengan itu, orang awam akan dapat menaruh kepercayaan bahawa orang kena tahan dilayan oleh pegawai penjara dan penyiasat, sebagai makhluk hidup, bukan sebagai objek tak bernyawa,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai