Wartawan sahkan tiada tindakan lanjut berhubung ciapan serbuan imigresen
Wartawan South China Morning Post, Tashny Sukumaran hari ini berkata tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung siasatan polis terhadap ciapannya mengenai serbuan Jabatan Imigresen di Selangor Mansion, Kuala Lumpur pada 1 Mei lalu.
Melalui akaun Twitter, Tashny berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pegawai siasatan dari Bukit Aman semalam.
"Kemas kini mengenai siasatan: Saya diberitahu oleh IO semalam bahawa kes saya adalah NFA (tiada tindakan lanjut).
"Terima kasih sekali lagi atas sokongan dan solidariti anda!," katanya.
Pada 6 Mei, Tashny yang ditemani peguamnya New Sin Yew disoal siasat selama dua jam mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
New juga menyatakan Tashny menulis di Twitternya ketika menjalankan tugas sebagai seorang wartawan.
Katanya, walaupun Tashny tidak ditanya mengenai laporan yang diterbitkan akhbar harian berpangkalan di Hong Kong itu, wartawan terbabit disoal mengenai ciapannya berhubung serbuan di Selangor Mansion.
Tashy pada masa sama turut memberitahu Malaysiakini bahawa beliau dimaklumkan oleh pegawai siasatan Bukit Aman yang sama bahawa beliau akan dipanggil untuk memberi keterangan lain berhubung sumbangannya dalam buku yang diharamkan Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia.
“Gangguan dan menakut-nakutkan penyumbang (isi kandungan) buku serta artis, penerbit dan penyuntingnya adalah tidak masuk akal dan bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Perlembagaan untuk kebebasan bersuara.
"Sudah menjadi ketetapan bahawa kebebasan bersuara adalah termasuk dengan kebebasan media," kata Tashny.
Menurut Tashny, belau juga diberitahu bahawa polis akan menghubungi semua penyumbang kandungan buku yang melibatkan artikel oleh wartawan dan penulis pada pilihan raya umum ke-14.
Buku itu baru-baru ini mencetuskan kemarahan dan beberapa pihak menggesa tindakan diambil berikutan kulit hadapannya yang menampilkan gambar menyerupai lambang Jata Negara.
Pada 1 Julai, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin mewartakan larangan terhadap buku itu di bawah Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Penerbitan Tidak Diingini) 2020.
Perintah itu melarang pencetakan, pengimportan, pengeluaran, pengeluaran semula, penerbitan, penjualan, penerbitan, edaran, pengedaran atau pemilikan buku berkenaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai