Calon pengganti Mohamad Ariff sudah dikenal pasti
Calon untuk dilantik sebagai speaker baru Dewan Rakyat sudah dikenal pasti, dedah Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Parlimen Fadillah Yusof.
Tanpa menamakan individu tersebut, Fadillah hanya memberi bayangan bahawa calon berkenaan bukan seorang anggota parlimen dan beliau hanya tersenyum apabila ditanya sama ada calon berkenaan juga dari Sarawak.
"Saya tak mengatakan siapa bakal penggantinya, yang pasti bakal penggantinya orang yang berkelayakan, orang Malaysia," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan sijil kontraktor penyiap kepada 39 kontraktor di Kuala Lumpur hari ini.
Pada Ahad lepas, Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan telah menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai speaker Dewan Rakyat ditamatkan.
Menurut Mohamad Ariff, turut diterima adalah usul mencadangkan supaya timbalan beliau, Nga Kor Ming juga ditamatkan perkhidmatannya.
Fadillah yang juga Menteri Kanan Infrastruktur dan Menteri Kerja Raya berkata GPS menyokong apa yang diputuskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan yakin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai asas kukuh dalam mengusulkan pertukaran kedua-dua pemegang jawatan berkenaan.
"Jadi kita akan sokong usul itu, dah kenal pasti siapa bakal pengganti dan kita akan melihat apa yang akan berlaku di Parlimen pada 13 Julai nanti," katanya.
Mengenai Pilihan Raya Sarawak, Fadillah berkata GPS bersedia menghadapinya pada bila-bila masa namun tarikhnya terserah kepada Ketua Menteri Abang Johari Openg.
"Untuk kita di Sarawak kita bukan bekerja untuk pilihan raya kita bekerja untuk rakyat dan kita bersedia pada bila-bila masa pilihan raya itu akan diadakan," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai