Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Peningkatan kadar pengangguran belia perlu ditangani segera

KATA ADUN | Pepatah ada menyebut, anak muda pewaris kepemimpinan negara. Belia adalah tonggak masa depan negara. Tetapi sedarkah kita, belia hari ini sering menjadi mangsa terbesar dalam sektor pekerjaan?

Saya meneliti statistik Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan bahawa pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah lebih tinggi daripada jumlah kadar pengangguran purata.

Sebagai contoh, kegawatan ekonomi 1987 menyaksikan pengangguran belia 15 hingga 24 tahun adalah sebanyak 17.4 peratus, 15 hingga 30 tahun pula adalah 12.2 peratus. Ia jauh lebih tinggi daripada kadar pengangguran secara purata iaitu 7.2 peratus.

Tiga dekad kemudian, trend yang sama berulang pada April 2020 di mana negara kita dan dunia umumnya sedang dilanda pandemik Covid-19.

Sebanyak 12.9 peratus belia berumur 15 hingga 24 tahun tiada pekerjaan, 9.0 peratus  yang berumur 15 hingga 30 tahun menganggur. Peratusan ini lebih tinggi daripada 5 peratus secara putara.

Kerajaan tidak seharusnya memandang sepi angka-angka ini. Pengangguran belia amat membimbangkan kerana tonggak masa depan negara tidak berpeluang untuk mengambil pengalaman, menjana rezeki apatah lagi bersedia untuk memimpin negara.

Mutakhir ini, angka penularan wabak Covid-19 di negara kita kian mengecil. Ini adalah satu pencapaian baik buat Malaysia. Namun untuk negara terus dipacu kehadapan, sektor ekonomi haruslah terus digerakkan dan belia merupakan tonggaknya.

Faktor

Antara faktor yang menjadi punca pengangguran belia termasuklah para siswazah adalah ketidakpadanan dalam pasaran kerja.

Laporan Malaysia's Labour Market and Job Creation dibawah Economic Transformation Plan (ETP) 2011-2015 mendapati, meskipun tahap pendidikan tenaga kerja semakin meningkat, namun peluang pekerjaan yang tersedia dalam kerangka ekonomi negara masih tertumpu pada pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana.

Statistik Jabatan Perangkaan Negara dan anggaran Bank Negara Malaysia pada tahun 2015 menunjukkan, penghasilan tenaga kerja pada tahap Pengajian Tinggi adalah sebanyak 51.2 peratus sedangkan tahap kemahiran jawatan melibatkan Pekerjaan Berkemahiran Tinggi yang diwujudkan hanyalah pada kadar 20.2 peratus.

Bagi tenaga kerja pada tahap pendidikan menengah pula, peratusan tahap kemahiran jawatan yang diwujudkan adalah setara pada kadar 52 peratus.

Malangnya, penghasilan tenaga kerja pada tahap pendidikan Rendah pula mencatatkan angka negatif (-) 3.1peratus sedangkan tahap kemahiran jawatan melibatkan Pekerjaan Berkemahiran Rendah berada pada angka 27.8 peratus.

Dari jurang ketidakpadanan angka-angka diatas, maka timbullah rangkaian isu-isu lain yang mengheret sama para belia kita ke lembah pengangguran. Antaranya soal ketidaksetaraan gaji setimpal dengan jawatan yang dimohon, kekurangan kemahiran dalam kalangan pekerja baru, kekurangan program latihan yang benar-benar berkesan untuk memenuhi keperluan industri dan sebagainya.

Dari aspek belia siswazah, kajian dijalankan oleh Bank Dunia dan TalentCorp bertajuk Malaysian Economic Monitor - Boosting Trade Competitiveness 2014 mendapati, 90 peratus daripada syarikat mempercayai bahawa belia siswazah keluaran universiti sepatutnya menjalani lebih banyak latihan industri sebelum dianugerahkan ijazah manakala 81% pula menganggap kemahiran berkomunikasi sebagai kekurangan utama dikalangan belia siswazah ini.

Saranan

Kerajaan perlu serius dalam menangani isu pengangguran belia. Usaha untuk menangani punca masalah hendaklah dijadikan agenda tetap negara demi kesinambungan perkembangan ekonomi yang lebih dinamik untuk masa hadapan.

Pertama, kualiti pendidikan serta penstrukturan semula akademik dengan mengambil kira penekanan bidang Technical and Vocational Education And Training (TVET) untuk memenuhi keperluan industri perlu dititik beratkan. Ia bakal menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Di Jerman, Sistem Dwilatihan Vokasional Teknikal (Dual Vocational Technical Training System) telah berjaya memadankan perantis dari sekolah beraliran vokasional dengan industri.

Pendekatan yang holistik ini dapat menggabungkan pengalaman pembelajaran berasaskan kerja untuk terus disambut oleh industri. Pendekatan ini dikatakan telah menyumbang kepada penurunan peratusan kadar pengangguran belia di negara tersebut.

Kedua, komunikasi dan kolaborasi dalam pendidikan dan latihan haruslah diperhebatkan dalam pembangunan komuniti khususnya golongan belia. Interelasi sektor pendidikan dan industri tidak boleh dilihat 'syok sendiri' dan akhirnya golongan belia yang sukar memenuhi keperluan industri pula yang dikatakan 'tidak peduli'.

Di Australia, Jawatankuasa Industri dan Kemahiran telah diwujudkan dan diberikan tugas khas menyediakan platform rasmi bagi membolehkan penggerak serta pemain industri berperanan aktif dalam mencorakkan halatuju dasar dan proses pembuatan keputusan bagi sektor TVET.

Ini termasuklah merumuskan pakej-pakej latihan yang releven untuk dibekalkan kepada para belia berdasarkan maklumat berkaitan jurang kemahiran pasaran kerja mengikut keperluan semasa industri.

Pelan pembangunan pendidikan

Seperti yang telah saya nyatakan, usaha mengenal pasti dan menangani akar permasalahan yang menjurus kepada isu pengangguran belia mestilah dijadikan agenda utama Malaysia.

 Perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun tidak mustahil untuk dilaksanakan. Bahkan, usaha ini telahpun dipertegaskan oleh kerajaan dan kajian sudahpun dimulakan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025). Hari ini kita sudahpun berada pada tahun 2020; separuh penggal dari perencanaan pelan tersebut.

Namun, angka-angka yang terbit dari statistik pengangguran belia dari Jabatan Perangkaan Malaysia berakhir April 2020 adalah amat membimbangkan seterusnya menimbulkan kerisauan apabila trend peningkatan kembali menyergah kita semua khususnya golongan belia.

Pastinya faktor-faktor luar jangka seperti serangan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuklah Malaysia telah memberi impak besar terhadap peningkatan peratusan pengangguran ini. Namun, ia bukanlah alasan untuk kita 'duduk sahaja' dan tidak berbuat apa-apa.

Sepertimana ketangkasan Kerajaan melawan pandemik Covid-19 sehingga Malaysia berjaya mengurangkan angka penularannya, begitulah tidak kurang pentingnya isu pengangguran belia ini kita tangani segera secara bersama-sama.


SHEIKH UMAR BAGHRIB ALI merupakan Adun Paloh.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.