Persatuan perdagangan bimbang penilaian audit sosial Top Glove
Pengilang sarung tangan Malaysia Top Glove tidak dapat menjadikan penilaian yang diperolehnya di salah sebuah kilang sebagai bukti bahawa ia memenuhi standard amalan buruh antarabangsa, kata persatuan perdagangan, Amfori.
Amfori, yang bekerjasama dengan firma di seluruh dunia untuk memastikan perdagangan yang beretika dan lestari, berkata ia juga mempunyai "kebimbangan" terhadap penilaian 'A' yang diterima Top Glove pada audit rantaian bekalan di salah sebuah kilangnya.
“Memang kita tahu bahawa salah satu kilang Top Glove - GMP Medicare Sdn Bhd - telah mendapat penilaian A dari Amfori Business Social Compliance Initiative (BSCI) pada bulan Disember 2019.
"Namun, penting untuk diperhatikan kita mempunyai beberapa kebimbangan mengenai penilaian kilang ini dan juga jenis audit yang digunakan.
"Tambahan pula, GMP Medicare Sdn Bhd adalah salah satu daripada beberapa kilang Top Glove, dan kami tidak boleh menerima penilaian ini mewakili bagaimana kami menilai Top Glove pada tahun 2019," kata Amfori.
Oleh itu, Amfori mengatakan bahawa ia "tidak dapat menyokong" dakwaan Top Glove bahawa penilaian itu menunjukkan bahawa ia memenuhi standard buruh antarabangsa.
Audit tanpa pemberitahuan
Amfori memberikan respon terhadap Pusat Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, yang membuat pertanyaan berikutan pendedahan stesen Channel 4 UK bulan lalu, mengenai dakwaan eksploitasi buruh di kilang-kilang Top Glove.
Maklum balas Amfori terhadap BHRC dilihat oleh Malaysiakini.
Setelah pendedahan itu, Top Glove memetik penilaian A dalam audit sosial oleh Amfori BSCI sebagai bukti bahawa ia tidak mengeksploitasi pekerjanya.
Malaysiakini difahamkan bahawa audit ke atas GMP Medicare Sdn Bhd tidak dilakukan tanpa pemberitahuan, seperti yang diperlukan.
Audit tanpa pemberitahuan merupakan satu syarat setelah GMP Medicare Sdn Bhd mendapat skor buruk dalam audit 2018.
Namun, keadaan ini tidak dipatuhi dan sejak itu Amfori menamatkan tugasnya dengan firma audit berkenaan.
Sumber juga mengatakan Top Glove mungkin diberi amaran secara rahsia sebelum audit oleh Kementerian Kesihatan baru-baru ini, yang membolehkan mereka memastikan semua kakitangan bekerja dengan pelitup muka dan melaksanakan penjarakan sosial.
Kementerian Kesihatan dalam laporan pemeriksaannya mengatakan kilang Top Glove di Meru, Selangor mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan untuk beroperasi semasa perintah kawalan pergerakan.
Pemeriksa juga menyatakan langkah-langkah jarak sosial boleh dipertingkatkan, manakala lebih banyak pembersih tangan diperlukan dan kebersihan di kantin di bawah standard, kata laporan bertarikh 5 Mei itu.
Laporan pemeriksaan Kementerian Kesihatan diedarkan kepada media oleh Top Glove.
Top Glove: Kami komited terhadap hak asasi manusia
Channel 4 UK melaporkan kakitangan Top Glove bekerja sehingga 111 jam seminggu untuk memenuhi permintaan bagi pakaian perlindungan peribadi (PPE) dari seluruh dunia, dipotong gaji tanpa persetujuan dan ditempatkan di asrama sesak tanpa ruang untuk penjarakan sosial.
Laporan itu juga menyatakan pekerja bimbang dijangkiti wabak, memandangkan keadaan persekitaran yang sempit, dan ini sama seperti laporan Malaysiakini sebelum ini.
Top Glove ketika memberi maklum balas terhadap pendedahan Channel 4 menafikan membuat pemotongan gaji tanpa persetujuan termasuk bayaran perekrutan atau memaksa pekerja bekerja 104 jam seminggu, seperti yang ditetapkan dalam undang-undang Malaysia.
“Di Top Glove, kami percaya semua orang dilayani dengan rasa hormat, dengan kepelbagaian dan komitmen untuk menegakkan hak asasi manusia.
"Kami terus mengenal pasti cara untuk mewujudkan persekitaran kerja di mana semua orang merasa berharga dan dihargai," kata Pengurus Besar Sumber Manusia Top Glove, William Yap dalam satu kenyataan.
Pada 11 Jun, Top Glove mencatatkan keuntungan bersih suku tahunan sebanyak RM347.9 juta, empat kali ganda berbanding suku yang sama tahun lalu.
Firma itu mengatakan jualan meningkat 180 peratus disebabkan kenaikan permintaan sarung tangan getah, dalam menghadapi wabak Covid-19.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai