Menguruskan 'landasan kereta api' digital
ULASAN | Karakter kegemaran saya di dalam cerita Butch Cassidy And The Sundance Kid bukannya Butch atau Sundance, tetapi Woodcock yang setia kepada EH Harriman dari Union Pacific Railroad - sebuah syarikat yang berulang kali menjadi sasaran pemberontak Wild West.
Ternyata Woodcock mengetahui niat Mr Harriman. Pada awal Zaman Perindustrian, sesiapa yang menguasai landasan kereta api bermakna dia menguasai laluan perdagangan - dan terdapat banyak faedah ekonomi yang akan diperolehinya.
Hari ini - ketika kita memasuki era digital - landasan kereta api yang dinyatakan di atas adalah jaringan yang menghubungkan semua pembekal dan pengguna barangan serta perkhidmatan.
Dan formula di atas sekali lagi digunakan: Sesiapa saja yang menguasai 'landasan kereta api' tersebut akan menguasai perdagangan global.
Hal itu bukan perkara yang kecil kerana ia membuatkan AS dan China saling bertikam lidah dalam perlumbaan menuju ke arah dominasi 5G - satu landasan atau jaringan yang besar, cukup untuk menjadikan landasan kereta api nampak seperti laluan kaki lima.
Perkara yang sedang kita saksikan ini adalah permulaan kepada pertengkaran yang sengit bagi pemilikan ke atas rangkaian jaringan digital dan menyaksikan manusia serta produk akan saling berkait.
Sama seperti landasan kereta api, sangat penting bagi pengguna untuk sampai ke destinasi dengan mudah dan murah.
Ini bermakna, kawalan terhadap suis yang mengawal infrastruktur digital - membolehkan akses kepada ramai pihak (besar dan kecil) - perlu berinteraksi dalam satu ekosistem digital yang menyeluruh di Malaysia.
Bagi negara seperti Malaysia, dengan sumber dan saiz yang terhad, kita mungkin tidak dapat bersaing dalam pemilikan rangkaian jaringan digital global, namun kita harus bertekad untuk mengawal rangkaian ini agar mereka saling kendali (interoperability) di dalam negara.
Kepentingan dalam isu ini tidak kurang pentingnya dengan kedaulatan digital negara. Dalam pengurusan transformasi digital Malaysia, menjadi tanggungjawab institusi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memastikan kawalan dan tadbir urus yang baik terhadap infrastruktur 'landasan kereta api digital' ini.
Hab rangkaian digital akan muncul sebagai teras asas kepada infrastruktur digital bagi setiap negara mewujudkan laluan untuk saling kendali antara barangan dan perkhidmatan yang melaluinya.
Semakin besar saling kendali yang ditawarkan oleh hab nasional ini kepada pengguna, semakin besar aliran lalu lintas sosial dan komersialnya.
Malah, potensi untuk meningkatkan jaringan digital dengan cepat memerlukan pengawasan yang ketat oleh pihak berkuasa agar manfaat ekonomi dapat diagihkan secara sekata di seluruh lapisan masyarakat.
Inisiatif ini boleh kita labelkan sebagai Malaysia 5.0.
Saya melihat peranan MDEC sebagai pengatur aliran lalu-lintas dengan bantuan teknologi “sandboxes” membolehkan mereka yang terlibat dapat menguji ketahanan (keselamatan) dan keberkesanan (kebolehpercayaan) serta memastikan semua dapat berjalan dengan lancar dan selesa.
Zaman Perindustrian melahirkan jutawan swasta pertama di dunia - Robber Barons, ketika mereka mula dikenali - dengan beberapa nama yang biasa kita dengar pada hari ini: iaitu Astor, Carnegie dan Rockefeller.
Namun, nama-nama yang bakal kita kenali adalah milik ER Harriman pada masa kini - orang yang akan membina, memiliki dan mengendali landasan digital untuk masa hadapan.
DR RAIS HUSSIN ialah pengerusi MDEC yang ditugaskan untuk mengatur dan memimpin ekonomi digital Malaysia agar bergerak ke hadapan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai