Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Guna Poca terhadap penganjur lumba haram tindakan keterlaluan - Peguam

Cadangan menggunakan Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 terhadap penganjur lumba haram adalah keterlaluan dan tidak sesuai, kata seorang peguam jenayah.

Rajsurian Pillai berkata, kegiatan lumba haram tidak sama dengan jenayah serius seperti kongsi gelap, sindiket pemerdagangan manusia atau sindiket pengedaran dadah.

Apatah lagi beliau berkata penggunaan Poca melibatkan penahanan tanpa bicara.

“Cadangan PDRM menggunakan undang-undang Poca ke atas penganjur perlumbaan haram adalah agak keterlaluan.

“Poca adalah satu kuasa eksekutif kepada menteri untuk menahan suspek jenayah yang amat serius, berat dan merupakan ancaman kepada keselamatan negara.

“Hukuman Poca dilakukan tanpa apa-apa bicara. Di bawah undang-undang Poca, tiada hak untuk didengar dan mempertahankan diri mengikut undang-undang prosedur jenayah,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan berita berhubung cadangan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman untuk menggunakan Poca ke atas penganjur perlumbaan haram.

Pengarahnya Azisman Alias berkata langkah itu disaran ekoran kegiatan itu yang semakin berleluasa, justeru melalui Poca penganjur perlumbaan haram boleh dikenakan hukuman buang daerah.

Azisman turut memberitahu ia secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada anak muda agar tidak terjebak dengan aktiviti tersebut kerana akan menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan kerana rekod kesalahan berkaitan lumba haram atau berkaitan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya.

Mengulas lanjut, Rajsurian berkata hukuman tersebut harus mengambil kira masa depan mereka memandangkan kebanyakan yang terlibat dalam kegiatan itu terdiri daripada kalangan anak muda.

Beliau berkata, meskipun usaha pihak polis harus dipuji dalam membanteras kegiatan lumba haram, tetapi terdapat undang-undang lain yang lebih sesuai digunapakai di bawah Kanun Keseksaan dan undang-undang trafik dalam Akta Pengangkutan Jalan.

“Ia juga harus diimbangi dengan hak-hak asasi manusia iaitu hak kebebasan individu, hak mempertahankan diri terhadap pertuduhan, hak didengar apabila dituduh.

“Poca bersifat pencegahan. Maksudnya, ia adalah untuk menghalang jenayah yang belum berlaku. Ia bukan untuk menghukum jenayah yang telah berlaku,” katanya.

Jejas masa depan

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata tujuan Poca diwujudkan dan dipinda beberapa kali adalah bagi membendung isu-isu yang lebih menjurus kepada aktiviti kongsi gelap.

Beliau memberi contoh, undang-undang tanpa bicara itu bertujuan melindungi orang ramai yang memberikan keterangan berkaitan kongsi gelap kerana bimbang keselamatan mereka terancam.

“Atas dasar tersebut, Poca diwujudkan atau digunakan untuk menahan orang dan menghantar, membuang negeri ataupun memberi perintah larangan lain tanpa bicara sebab payah nak dapat keterangan daripada orang awam yang takut dengan (kumpulan) kongsi gelap.

“Kalau kita nak gunakan Poca ni untuk isu macam lumba haram, it is not right sebab lumba haram ni bukannya isu kongsi gelap,” katanya.

Beliau turut senada dengan Rajsurian berhubung masa depan anak muda yang bakal terjejas kerana terlibat dengan penganjuran kegiatan lumba haram sekiranya akta ini digunapakai terhadap mereka.

Katanya, jika dibandingkan dengan kesalahan penganjuran lumba haram dan kegiatan kongsi gelap, orang awam yang mempunyai bukti tidak takut untuk tampil memberikan keterangan.

Tambahnya, lebih adil sekiranya pihak polis menyiasat dalang aktiviti tersebut, membuat ponahanan dan membuktikannya di mahkamah kerana orang yang dituduh dapat tampil membela diri mereka.

“Jadi, saya sarankan pihak polis jangan lari daripada tujuan asal daripada sesuatu akta,” katanya.

Jelasnya, perlu ada keseimbangan antara membanteras jenayah dan membuktikan kes di mahkamah, yang mana melibatkan keselamatan saksi.

“Bila keluar daripada kedaulatan undang-undang, maka negara yang menjadi cacamarba, urustadbir negara jadi cacamarba, orang jadi takut sebab adakah negara kita jadi police state?” katanya.