Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Putrajaya beku permohonan MM2H, buat ejen terkeliru

Permohonan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), yang menyumbang RM40 bilion untuk ekonomi, telah dibekukan untuk tempoh masa yang tidak dibataskan, seperti yang dinyatakan dalam sepucuk surat Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac).

Surat bertarikh 29 Jun itu, adalah mengenai penutupan pusat MM2H di kementerian dan akan dipindah ke Jabatan Imigresen di Putrajaya. Bagaimanapun, surat itu tidak memberikan alasan berhubung tindakan itu.

Ejen MM2H tidak tahu mengapa permohonan dibekukan dan berasa keliru dengan keputusan itu, kata Presiden Persatuan Ejen MM2H Lim Kok Sai, lapor portal The Malaysian Insight hari ini.

Bagaimanapun, 90 peratus permohonan baru tahun lepas antara September hingga November di bawah program MM2H ditolak tanpa sebarang alasan.

Hampir 1,000 permohonan ditolak dari September hingga November tahun lepas, kata Lim.

Ini merupakan penolakan permohonan paling tinggi sejak 14 tahun.

Perintah kawalan pergerakan (PKP), yang dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, mengakibatkan program MM2H tergendala kerana kaunter MM2H ditutup dan Putrajaya telah menutup sempadan Malaysia daripada kemasukan kebanyakan warga asing dengan pengecualian tertentu.

"Semasa PKP, banyak ejen terpaksa membatalkan temu janji kerana kaunter permohonan ditutup," kata Lim.

Ejen berharap dapat meneruskan semula aktiviti mereka dengan permulaan pemulihan PKP, yang menyaksikan banyak sektor lain dibuka semula untuk perniagaan, tetapi pengumuman baru-baru ini oleh Motac membuat mereka terkejut.

“Unit imigresen MM2H akan dipindahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia mulai 6 Julai 2020.

“Oleh itu, segala masalah berkaitan imigresen dapat diselesaikan secara langsung dengan Jabatan Imigresen Malaysia di ibu pejabatnya.

"Kerana penutupan pusat, semua permohonan baru tidak akan diterima sampai notis lanjutan," baca notis oleh Motac.

Sebelum ini, sejumlah pemegang visa MM2H yang berada di luar negara telah terdampar di luar negara selama berbulan-bulan kerana Putrajaya tidak membenarkan warga asing memasuki negara ketika PKP dilaksanakan pertama kali.

Walaubagaimanapun, ketika kerajaan mengurangkan sekatan di tengah-tengah wabak Covid-19, pemegang visa MM2H yang terdampar di luar negara akhirnya dibenarkan memasuki Malaysia pada 17 Mei.

Program MM2H adalah inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Pelancongan yang dilancarkan pada tahun 2002 yang bertujuan untuk menarik ekspatriat asing untuk melabur di Malaysia.

Residensi di bawah program MM2H adalah visa masuk 10 tahun yang boleh diperbaharui yang memberikan insentif antaranya, untuk pembelian hartanah dan pendidikan.

[Baca berita asal]