Jata Negara tidak berdosa, kata Prof Teo Kok Seong
Hukum sahaja tidak mencukupi dalam isu pengubahsuaian simbol kebangsaan sewenang-sewenangnya, termasuk dalam isu terbaharu, pengubahsuaian Jata Negara, tegas Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong.
Beliau berkata, kes sama seperti ini terlalu kerap berlaku, umpama tiada iktibar langsung diambil daripada hukuman terhadap kes sama yang berlaku sebelum ini.
"Dahulu kita dapat lihat bagaimana bendera kita dikibarkan dengan rekabentuk lain dan lagu Negaraku dinyanyikan dalam bahasa selain bahasa rasmi, selepas itu siaran rasmi sebuah kementerian pula dikeluarkan dalam bahasa lain.
“Persoalannya di mana iktibar sehingga berlaku kes lain secara berterusan, yang memburukkan lagi keadaan, ia dilakukan kelompok sama, ini tidak baik, sangat-sangat tidak baik untuk perpaduan negara.
"Sesuatu perlu dilakukan di sini, mengapa ia berlaku berterusan dan frekuensinya kerap?,” katanya ketika menjadi tetamu dalam talian di program BernamaTV: ‘Malaysia Petang Ini’ hari ini.
Sebelum ini tular dalam media sosial, sebuah buku menggunakan visual mirip Jata Negara, memaparkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta imej dua ekor harimau diubah suai selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawah yang biasanya tertera cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu.
Penerbit buku bertajuk 'Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia' itu, Chong Ton Sin, dilapor berkata bahawa pihaknya tidak berniat untuk menghina Jata Negara serta ia berlaku secara tidak sengaja.
Teo berkata tidak salah sekiranya mana-mana pihak mahu meluahkan rasa kecewa namun jangan sewenang-wenangnya jadikan simbol kebangsaan sebagai mangsa.
"Rasa tidak puas hati, kecewa, harus bertepatan dan tidak harus bersifat sewenang-wenangnya. Setiap tulisan dalam buku itu, kritikannya begitu tajam, teguran begitu keras, saya kira ini sudah cukup, rasa tidak puas hati tidak boleh tertumpah kepada Jata Negara yang tidak berdosa.
"Sudah tiba waktunya kita perlu pandai mengawal emosi, mungkin kita dah pandai dari segi intelektual tapi tidak pandai dari segi emosi,” katanya.
Jelas beliau, Jata Negara dan simbol kebangsaan yang lain tidak boleh diusik atas apa sebab sekalipun.
“Ia sesuatu yang kudus, mesti dihormati dan diletak di persada setinggi mungkin sebab ia mewakili negara, pada lambangnya ada kedaulatan negara… bagi saya tak boleh langsung diusik walaupun untuk tujuan kreativiti,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai