Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

JPM: Tindakan salah guna, ubah suai Jata Negara boleh dikenakan hukuman

Kerajaan memberi amaran bahawa mana-mana pihak yang melanggar larangan berkenaan penggunaan Jata Negara boleh didakwa dan dikenakan hukuman.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, mereka yang berbuat demikian boleh didakwa dan dikenakan hukuman mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963

"Kerajaan memandang serius berhubung penyalahgunaan dan pengubahsuaian Jata Persekutuan oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran dan ia menjadi kesalahan di bawah Akta 414 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963," kata JPM dalam kenyataan hari ini.

Seksyent tersebut antara lain menyebut, mana-mana pihak tanpa kebenaran bertulis menteri tidak boleh:

  • Mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata atau apa-apa tiruan serupa mengenainya, bagi maksud apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan atau profesion.
  • Mengguna atau terus mengguna apa-apa nama ternyata atau lambang ternyata, atau apa-apa tiruan serupa mengenainya, dalam tajuk apa-apa paten, atau dalam apa-apa cap dagangan atau reka bentuk;
  • Membuat bagi maksud jualan atau menjual atau ada dalam miliknya untuk dijual, apa-apa lambang ternyata.

Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada buku bertajuk Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia yang memaparkan gambar kulit depan mirip Jata Negara.

Sejumlah laporan telah dibuat terhadapnya selepas gambar kulit depan itu dimuat naik di media sosial.

Hari ini, Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya yang menerbit buku itu, Chong Ton Sin memohon maaf atas kontroversi tersebut dan berkata pihaknya tiada niat untuk menghina lambang negara dan akan lebih sensitif pada masa kana datang.