Dua pemimpin MCA lapor polis isu kenyataan Dr M 'orang Cina sangat kaya'
Dua pemimpin MCA Pasir Gudang membuat laporan polis ke atas Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan bekas perdana menteri itu yang disifatkan menghasut apabila menggambarkan orang Cina Malaysia sangat kaya.
Timbalan ketua biro publisiti bahagian Albert Tang membuat laporan polis di Balai Polis Kulai Jaya pagi semalam manakala timbalan ketua biro aduan awam Ang Tun Chek membuat dalporan di Balai Polis Masai, di sebelah petangnya.
Dalam laporan mereka yang disiarkan di media sosial, mereka mendakwa bekas perdana menteri itu cuba “mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum di Malaysia”.
Bercakap kepada Malaysiakini, Ang menggesa polis menyiasat Mahathir di bawah Akta Hasutan 1948.
“Kenyataannya itu adalah berunsur hasutan dan menyebabkan perasaan tidak senang dalam komuniti Cina,” katanya.
Ketika mengulas tentang jurang kekayaan antara kaum dalam temu bual bersama Asia Times, Mahathir mendakwa orang Cina Malaysia sangat dinamik dan “menjadi sangat kaya” sehingga mereka “memiliki semua bandar di Malaysia”.
Kata Mahathir, perkara itu tidak sihat.
Ditanya apakah pandangan Mahathir itu turut dikongsi oleh Umno dan Bersatu yang pernah diterajuinya, Ang percaya ia hanyalah pandangan peribadi Mahathir sendiri.
“Dia pun ada ada keluarkan kenyataan sebegitu ketika bersama Pakatan Harapan (PH). Sebagai individu yang menerajui negara ini sebanyak dua kali, dia sepatutnya membaiki hubungan kaum dan patut tampil dengan pendekatan untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar ketika berkuasa,” katanya.
“Kekayaan negara ini adalah terbuka untuk sesiapa sahaja yang berusaha dalam kerjaya dan perniagaan mereka. Apa yang dikatakannya (Mahathir) akan turut menanam rasa iri terhadap orang kaya juga.
“Beberapa orang daripada kami di MCA Pasir Gudang dah berbincang tentang ini, dan rasakan kami patut buat laporan polis. Kepemimpinan bahagian turut bersetuju,” tambah Ang.
Dalam hantaran Facebooknya, Tang berkata dia membuat keputusan untuk membuat laporan polis memandangkan tiada sesiapa yang berbuat demikian sejak dua hari kebelakangan ini.
Tambahnya, laporan ke atas Mahathir adalah kerana mencetuskan permusuhan kaum.
Tang turut bertanya kepada veteran DAP dan anggota parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang, apa yang telah DAP buat untuk kaum Cina yang mengundi gabungan mereka semasa pilihan raya umum lalu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai