Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

IHH Healthcare catat rugi bersih RM319.79 juta suku pertama 2020

IHH Healthcare Bhd mencatatkan kerugian bersih RM319.79 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2020 daripada keuntungan bersih RM89.51 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Perolehan berkurangan kepada RM3.55 bilion daripada RM3.64 bilion sebelum ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu mengaitkan kerugian berkenaan dengan rosot nilai lebihan berjumlah RM400.5 juta daripada pelaburan di Global Hospitals, India dan realisasi kerugian pertukaran mata wang asing sebanyak RM60 juta berkenaan Khubchandani Hospital di India ke atas mudah tunai yang substantif.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Kelvin Loh berkata seperti perniagaan lain, kumpulan itu turut tidak terkecuali daripada berdepan impak yang tidak pernah terjadi sebelum ini akibat pandemik Covid-19.

“Namun, kami memberikan prestasi operasi yang berdaya tahan pada suku pertama 2020. Fokus kami ialah mengekalkan disiplin fiskal berhemat, memacu sinergi dan mempelbagaikan aliran pendapatan kami.

“Pada masa depan, strategi kami yang ditambah baik akan memberikan kami daya tahan untuk mengharungi pandemik ini di samping menempatkan kedudukan bagi pertumbuhan jangka panjang,” kata Loh.

Beliau berkata impak pandemik ini akan berterusan pada tahun kewangan 2020 dan menurutnya penyusutan yang berpanjangan daripada wabak yang selanjutnya dan perintah berkurung yang dikenakan semula mungkin akan melembapkan lagi prestasi kumpulan.

Bagaimanapun, Loh berkata impak ini sebahagiannya akan dikurangkan dengan mempelbagaikan aliran perolehan baru melalui pertumbuhan yang dirancang dalam bidang seperti diagnostik, ujian makmal dan teleperubatan dan menguatkuasakan kawalan kos dan disiplin modal termasuk menangguhkan projek pengembangan modal yang tidak kritikal.

-Bernama