Pusat hemodialisis bernilai RM2 juta bakal dibina di Chini
Sebuah pusat hemodialisis bakal dibina di kawasan Chini melibatkan peruntukan sebanyak RM2 juta, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.
Dr Adham berkata ia bakal dibina di sebuah tapak yang telah dikenal pasti dan akan dilengkapi dengan 10 mesin hemodialisis serta sistem rawatan air (osmosis berbalik).
“Dengan adanya pusat hemodialisis ini, maka pesakit tidak perlu dihantar tempat yang jauh dan ia merupakan keperluan mendesak. Kita di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memang sentiasa membuat persiapan dan kesiapsiagaan supaya dapat beri rawatan terbaik untuk pesakit buah pinggang.
“Ia tidak banyak masalah kerana tanah sudah ada dan akan dilengkapi dengan mesin hemodialisis terkini untuk beri keselesaan kepada pesakit, “ katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan, Chini dekat Pekan hari ini.
Ketika ini pesakit buah pinggang di kawasan Chini terpaksa berulang alik lebih 80km untuk mendapatkan rawatan mencuci darah di Unit Hemodialisis Pekan berikutan tiada kemudahan di kawasan itu.
Mengulas tentang lawatan di klinik kesihatan itu, Dr Adham berkata KKM akan melihat tentang keperluan untuk melengkapkan klinik berkenaan dengan ‘ruang kecemasan’ berikutan klinik itu terletak jauh dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan Hospital Pekan.
“Klinik ini dilaporkan merawat antara 300 hingga 500 pesakit sehari dan memang ada keperluan untuk dilaksanakan tempat rawatan kecemasan. Begitu juga dengan pusat rawatan radiologi dilengkapkan dengan mesin pengimbas x-ray serta perkakasan untuk bantu diagnosis,” katanya.
Sementara itu, Dr Adham berkata pihak KKM akan menempatkan petugasnya untuk membantu dari segi khidmat teknikal bagi kelancaran proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini esok.
Ia termasuk memastikan proses itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu penggunaan sut peralatan perlindungan diri (PPE), elemen penjarakan sosial dan pengundian dilakukan secara selamat untuk mengelakkan risiko jangkitan COVID-19.
Sebanyak 18 pengundi awal membabitkan anggota polis akan mengundi esok di Bilik Maklumat, Balai Polis Chini dekat sini.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai