PKR sedia bincang isu calon PM tapi waspada langkah laga-lagakan PH
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution hari ini berkata, pihaknya bersedia untuk meninjau semula isu calon perdana menteri Pakatan Harapan tetapi juga menasihatkan supaya berhati-hati terhadap usaha memecahbelahkan gabungan politik itu.
Saifuddin berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang dipengerusikan oleh presiden parti Anwar Ibrahim di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
"Walaupun PKR telah menyatakan pendirian dalam isu calon perdana menteri sebelum ini, PKR sedia untuk berbincang namun sebarang keputusan di peringkat Pakatan Harapan perlu diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.
"Sebarang cadangan baru tidak harus dijadikan mainan politik peribadi mana-mana tokoh," katanya pada suatu kenyataan.
Ini berlaku susulan pertemuan antara bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dengan Amanah, DAP dan Warisan pada 25 Jun.
Dalam pertemuan itu Presiden Warisan Shafie Apdal diusulkan bakal menjadi calon perdana menteri PH dan sekutunya.
PKR yang menentang Mahathir sebagai calon perdana menteri dan sebaliknya menginginkan Anwar ke jawatan itu, tidak hadir pertemuan tersebut.
Usul itu nampaknya merupakan usaha untuk memecahkan kebuntuan antara Mahathir dan Anwar mengenai siapa yang seharusnya menjadi calon perdana menteri PH dan juga untuk menarik sokongan dari Malaysia Timur.
PKR bersiap PRU mengejut
Mahathir mendakwa keputusan untuk mencadangkan Shafie sebagai calon perdana menteri mendapat sokongan sebulat suara dalam pertemuan itu.
Bagaimanapun, DAP dan Amanah berkata mereka perlu berunding dengan kepimpinan parti masing-masing dan membawa perkara itu ke Majlis Presiden PH.
Saifuddin berkata, MPP PKR berpendapat bahawa kerjasama dalam Pakatan Harapan harus diperkukuhkan.
"Pada masa yang sama, kami mengingatkan agar semua pihak sentiasa berwaspada dan jangan terperangkap dengan sebarang usaha atau langkah yang direncana untuk melagakan parti-parti di dalam Pakatan Harapan, seperti mana yang pernah dilakukan terhadap PKR sebelum ini," katanya lagi.
PKR berpendapat mandat yang diberikan oleh rakyat kepada PH pada PRU14 harus dipulihkan tetapi berkata gabungan itu juga perlu bersiap sedia sekiranya berlaku pilihan raya umum mengejut.
"PKR dan Pakatan Harapan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berlakunya Pilihanraya Umum ke-15 lebih awal dari 2023," jelas Saifuddin.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai