PSM kritik menteri pertanian berhubung lantikan dalam MPPN
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengkritik Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee berhubung lantikan Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) yang tidak mempunyai latar belakang daripada golongan pesawah, petani, nelayan dan penternak.
Sebaliknya, Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sharan Raj, menyifatkan pelantikan itu hanya melibatkan kapitalis, pengimport makanan dan orang tengah.
“Malah, ramai ahli akademik yang dilantik ke dalam MPPN tidak terlibat atau memiliki realiti tentang sektor pertanian negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, ahli parlimen dari Umno, Irmohizam Ibrahim dilantik sebagai ahli MPPN bagi sesi 2020-2021.
Beliau merupakan antara 12 lantikan baru MPPN yang dilantik dari kementerian tersebut.
Raj berkata, lantikan itu juga menunjukkan bahawa kerajaan gagal untuk memastikan kedaulatan makanan negara akan berterusan kerana tiada pemahaman realiti mengenai industri pertanian dari segi perspektif penghasil makanan.
“Malaysia telah hilang kedaulatan makanan kerana Putrajaya melantik individu bersifat elitis yang membuat polisi pertanian yang sangat teruk.
“Sewajarnya, MPPN dianggotai oleh golongan penghasil makan seperti pesawah, petani, nelayan dan penternak untuk merangka polisi yang inklusif untuk memperkasakan sektor pertanian,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai