Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Tindakan nelayan Indonesia selamatkan Rohingya beri mesej besar pada Asean'

Tindakan nelayan Indonesia menyelamatkan hampir 100 pelarian Rohingya yang terkandas di perairan negara itu semalam memberikan mesej yang besar terhadap pemimpin Asean, kata Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago.

Beliau yang memuji langkah nelayan itu berkata ia memberi pengajaran bahawa nyawa setiap individu adalah penting terutamanya dalam keadaan dunia berdepan wabak Covid-19.

“Saya rasa mereka memberikan mesej yang besar kepada pemimpin-pemimpin Asean mengenai konsep belas kasihan, melindungi mereka yang dalam kesulitan.

“Terutamanya apabila orang biasa atau komuniti yang turut terjejas (dengan Covid-19) membantu pelarian Rohingya yang melarikan diri dari penghapusan etnik, daripada semua jenis keganasan sama ada mereka di Bangladesh atau di negeri Rakhine, Myanmar,” kata Charles dalam sidang media digital bertajuk Kemuncak Sidang Asean ke-36: Melindungi hak asasi manusia dan demokrasi ketika wabak Covid-19 hari ini.

Semalam, dilaporkan pelarian Rohingya yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak diselamatkan oleh nelayan Indonesia selepas pihak berkuasa enggan membantu memberikan mereka tempat perlindungan kerana bimbang jangkitan Covid-19.

Charles berkata, dalam berdepan dengan krisis, agenda utama dalam Sidang Kemuncak Asean ke-36 yang berlangsung esok sepatutnya menumpukan kepada komuniti yang terjejas seperti pelarian Rohingya, di mana pemimpin Asean tidak mampu bertindak balas terhadap mereka.

Katanya, ketika satu dunia berdepan Covid-19, negara-negara Asean sewajarnya meletakkan sikap belas kasihan sebagai keutamaan, sama ada terhadap mereka yang berada di darat atau di perairan.

“Saya rasa ia juga mencerminkan bahawa Asean tidak melakukan yang secukupnya dalam isu Rohingya di negeri Rakhine.

“Terdapat banyak mesyuarat dan persidangan (membincangkan isu Rohingya) tetapi tiada jalan penyelesaian yang konkrit bagi menyelesaikan isu ini,” katanya.

Sediakan harga vaksin berpatutan

Charles turut membangkitkan isu hak asasi manusia berkaitan akses kepada kesihatan, dengan menyarankan supaya pemimpin di negara Asean menggesa syarikat farmasi besar (big pharma) supaya tidak meletakkan harga yang sangat mahal apabila vaksin Covid-19 ditemui.

Beliau turut memberi contoh bagaimana kerajaan Malaysia sebelum ini memberikan akses perubatan dengan kos yang lebih rendah berbanding kos sebenar untuk merawat penyakit Hepatitis C.

“Jadi, apa yang saya cuba sampaikan kepada menteri-menteri supaya esok mereka mesti menegaskan kepada komuniti global terutama kepada farmasi besar (big pharma) yang (harga) ubat-ubatan dan vaksin perlu berpatutan,” katanya.

Katanya, kerajaan di negara Asean juga perlu memastikan ia boleh didapati oleh mereka yang terjejas dan perlu memberikan secara percuma kepada golongan miskin.

“Ia sangat penting kerana virus ini memberi kesan kepada golongan miskin dan kaya. Tetapi malangnya penjarakan sosial tidak dapat diamalkan di rumah-rumah kecil. Ia mustahil.

“(Contohnya seperti) pekerja warga asing di Malaysia berkongsi di dalam sebuah rumah kecil bersama 30 orang dan mustahil mereka dapat amalkan penjarakan sosial,” katanya.

Gesa Myanmar kembalikan akses internet Rakhine

Timbalan Pengarah Asia bagi Human Rights Watch, Phil Robertson yang turut menyertai sidang media digital itu berkata antara perkara paling kritikal yang negara Asean perlu lakukan adalah memberitahu kerajaan Myanmar supaya mengembalikan semula akses internet di Rakhine.

Menurut Robertson, tindakan kerajaan Myanmar itu bukan sahaja menambah kesulitan mereka (penduduk Rakhine) mendapatkan maklumat tentang Covid-19, tetapi mereka membuatkan pihak bantuan kemanusian sukar beroperasi bagi menyampaikan bantuan.

“Apabila anda cakap mengenai komuniti di negeri Rakhine, mereka tidak tahu pun tentang pandemik Covid-19 sedang berlaku kerana mereka disekat daripada mendapatkan maklumat di kawasan terpencil, itu adalah masalah hak asasi manusia.

“Semua orang berhak mendapat akses kepada maklumat, berhak tahu apa yang terjadi. Dan tindakan kerajaan (Myanmar) memutuskan rangkaian internet membuatkan mereka berada dalam kegelapan, atas apa alasan jua mengapa tindakan tersebut diambil,” katanya.

Kerajaan Myanmar menutup data mudah alih di beberapa penempatan di seluruh negeri Rakhine dan negeri jiran Chin sejak 21 Jun tahun lalu, sehingga menyebabkan penduduk di situ disekat daripada mendapat sebarang maklumat terkini.

Untuk rekod, sekatan internet itu memasuki tahun kedua dan penduduk tempatan telah merayu supaya ia ditamatkan dengan segera ketika wabak Covid-19 menyerang.

“Jadi ini adalah perkara yang negara Asean perlu utarakan kepada Myanmar.

“Mereka (pemimpin Asean lain) perlu mengutarakan beberapa isu utama yang mereka boleh ajukan dan tekankan kerana Myanmar mempunyai rekod hak asasi manusia yang sangat teruk.

Sidang Kemuncak Asean ke-36 yang akan berlangsung esok diadakan secara maya di mana pemimpin-pemimpin Asean akan bersidang melalui persidangan video bagi membincangkan isu-isu serantau dan pasca Covid-19.

Malaysia akan diketuai oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin. Manakala sidang tersebut akan dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc yang juga Pengerusi Asean 2020.