Polis nafi tak ambil tindakan kes rogol warga Nigeria
Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya polis tidak mengambil tindakan berhubung kes rogol dan pukul melibatkan seorang wanita warga Nigeria pada 4 Jun lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata kertas siasatan lengkap telah dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya baru-baru ini untuk tindakan lanjut.
“Keputusan telah dicapai untuk mendakwa mereka yang terlibat mengikut Seksyen 375 dan 377C Kanun Keseksaan kerana merogol dan meliwat,” katanya selepas menghadiri majlis serah terima tugas antara Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Saiful Azly Kamaruddin yang dilantik sebagai Pemangku Pengarah JSJK dengan Pengarah JSJK Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad yang bersara wajib Ahad ini (28 Jun).
Abdul Hamid berkata seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun direman pada Selasa lepas, sementara tiga lagi masih diburu berhubung dakwaan merogol seorang wanita Nigeria berusia 30 tahun di sebuah rumah di Cheras.
Ketua Polis Negara itu menegaskan PDRM sentiasa bertindak profesional dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah.
“Proses (siasatan) mengambil masa sedikit memandangkan pada awalnya mangsa enggan penuhi tatacara siasatan iaitu membuat pemeriksaan tubuh badan… tetapi kita pujuk dia dan berjaya melengkapkan kertas siasatan kes ini,” katanya.
Abdul Hamid menasihati orang ramai agar tidak mudah mengeluarkan kenyataan tanpa mengetahui kebenaran sehingga boleh mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai