Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Surau boleh mohon aktiviti korban di kawasan lebih luas

Ahli Jawatankuasa Kariah (AJK) surau di kampung boleh memohon kelulusan daripada Pejabat Agama Daerah bagi mengadakan aktiviti ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha di kawasan lebih luas sekiranya surau sedia ada terlalu sempit.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan boleh mempertimbangkan kelulusan untuk tujuan itu bagi membolehkan amalan jarak sosial sekali gus prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

“Saya percaya banyak surau di kampung sempit, maka kita (kerajaan) buat keputusan benarkan buat ibadah korban di kawasan lebih luas dengan syarat mohon kelulusan daripada Pejabat Agama Daerah,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya, hari ini.

Kerajaan pada Rabu lepas mengumumkan kebenaran aktiviti ibadah korban diadakan di semua masjid, surau serta kawasan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama.

Mengenai solat Jumaat, Ismail Sabri berkata kerajaan juga bersetuju ibadah sembahyang dilakukan di perkarangan masjid dengan syarat SOP dipatuhi dengan pengamalan jarak sosial selain daripada satu pertiga kapasiti jemaah dalam masjid yang dibenarkan.

Ketika ditanya mengenai solat Jumaat dua sesi seperti yang dilaksanakan di Singapura, katanya, setakat ini belum ada pengumuman daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

- Bernama