Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bubar DUN Johor dulu, kata Salahuddin pada Umno

Di tengah seruan Umno agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen bagi memolehkan PRU diadakan, pemimpin Amanah Salahuddin Ayub menggesa parti itu yang memimpin kerajaan Johor berbuat demikian di negeri itu terlebih dahulu.

Timbalan presiden Amanah itu berkata, Umno dan Bersatu tidak perlu berlengah dan boleh memohon agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada bila-bila masa.

"Semakin ramai pemimpin Umno yang menggesa Muhyiddin membubarkan Parlimen...Oleh kerana mereka begitu ghairah untuk PRU diadakan, saya ingin mencabar mereka memulakan langkah itu di Johor.

"Mereka menyebut tentang ketidakstabilan situasi politik negara sebagai alasan mengadakan PRU, maka langkah ini harus bermula di Johor ekoran kemelut politik di negeri ini," katanya yang juga ahli Parlimen Jeram dalam kenyataan, hari ini.

Selain di peringkat pusat, terdapat juga spekulasi sebelum ini berhubung kemungkinan PH mengambil kembali pentadbiran Johor dengan gabungan itu mendakwa mereka mempunyai jumlah yang cukup untuk berbuat demikian.

PN hanya mempunyai 29 kerusi DUN di Johor, berbanding 27 dari PH. Pembelotan seorang sahaja Adun PN cukup untuk menyaksikan DUN Johor tergantung.

Pada 3 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran akan membubarkan Dewan Undangan Negeri sekiranya perebutan kuasa berterusan.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa Muhyiddin mengikut jejak Singapura dengan membubarkan Parlimen, atas dasar mengembalikan kestabilan politik negara.

Mohamad berkata, Malaysia tidak pernah berada dalam kedudukan politik yang sangat tidak stabil seperti hari ini sejak negara mencapai kemerdekaan, dan pilihan raya dapat memastikan kerajaan yang memerintah mempunyai mandat yang baik dan diyakini.

Umno/BN sebelum ini menyatakan kesediaan mereka untuk menghadapi PRU15 selepas kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) cuba digugat Pakatan Harapan (PH), antara lain menerusi usaha pembangkang untuk mendapatkan majoriti di Dewan Rakyat.

Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata ada tiga indikator yang mewajarkan Parlimen dibubarkan iaitu usaha membeli wakil rakyat oleh pihak pembangkang, majoriti tipis dan kegagalan PN menepis persepsi dimainkan PH iaitu 'kerajaan tanpa mandat'.

Bagaimanapun beliau berpandangan PRU15 lebih cepat hanyalah pilihan terakhir jika faktor yang disebutnya itu tidak dapat dibendung lagi.