Adun Buntong sertai Gerakan, dakwa demokrasi dalam DAP cacat
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Buntong A Sivasubramaniam hari ini secara rasmi menyertai parti Gerakan.
Ini selepas bekas wakil rakyat DAP dari Perak itu mengumumkan keluar daripada parti itu pada 9 Mac lalu dan mengisytiharkan sokongan terhadap gabungan Perikatan Nasional (PN).
Dalam satu kenyataan hari ini, Sivasubramaniam yang merupakan Adun bagi penggal ketiga di Buntong berkata bahawa beliau bertindak keluar dari DAP selepas mengalami "pengalaman pahit" selama 22 bulan bersama parti itu di Perak.
"Kita semua kenal, kononnya, DAP adalah sebuah parti multiracial (pelbagai kaum) berpaksikan demokratik.
"Tetapi, keadaan sebenarnya adalah terlalu pahit. Demokrasi dalam DAP Perak dikuasai oleh satu dua orang yang berkuasa yang mengenepikan kesuburan demokrasi dalam parti itu.
"Di peringkat negeri, dua saudara yang terlalu selesa dan kuat. Tiada siapa yang boleh menegur mereka, tiada siapa boleh menasihati mereka. Demokrasi ala DAP terlalu cacat," katanya tanpa menyebutkan nama spesifik.
Terdahulu, Sivasubramaniam mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin Gerakan sebelum mengumumkan menyertai parti itu secara rasmi di Wisma Gerakan Ipoh, Perak, pagi tadi.
Menurutnya, keputusannya untuk melepaskan keahlian dalam DAP adalah tepat dan dibuat demi kebaikan dan kebajikan penduduk DUN Buntong.
"Ada yang kata keputusan saya untuk keluar parti telah membelakangkan kepercayaan rakyat yang memilih saya.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan bahawa dalam 22 bulan (kerajaan PH) campur tangan DAP dalam pemerintahan negeri adalah terlalu parah dan hanya berpaksikan kepentingan diri sendiri oleh segelintir pemimpin," katanya.
Untuk rekod, DAP Perak sebelum ini dilihat berpecah kepada dua kem selepas bekas bendahari Paul Yong tidak sehaluan dengan dua pemimpin kanan DAP Perak, Ngeh Khoo Ham dan Nga Kor Ming.
Paul Yong merupakan Adun Tronoh juga bertindak keluar dari DAP dan PH bersama empat Adun Bersatu dan satu daripada Amanah mengakibatkan kerajaan PH di Perak tumbang.
Sementara itu, Sivasubamaniam memberitahu bahawa dengan menyertai Gerakan, kini beliau dalam perjalanan baru yang dapat memenuhi aspirasi rakyat.
"Gerakan akan menjadi wadah baru perjuangan saya.
"Dengan ini juga sebanyak 21 cawangan DAP dari kawasan Buntong juga bertindak keluar dan menyertai Gerakan," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Presiden Gerakan Dominic Lau.
Tambah Sivasubramaniam, dia juga tetap menyokong kepimpinan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan kerajaan PN Perak.
Tahniah Gerakan, kata DAP Perak
Sementara itu, dalam satu kenyataan mengulas perkembangan berkenaan DAP Perak mengucapkan "tahniah" kepada Gerakan.
"Tahniah kepada Parti Gerakan yang telah membantu DAP untuk membersihkan Parti dan menerima mereka yang tidak berprinsip dan sanggup menjual maruah mereka.
"Rakyat akan membuat keputusan untuk menghukum mereka yang telah mengkhianati mandat Rakyat dan menggadaikan maruah mereka," kata kenyataan itu.
DAP Perak juga menyifatkan Sivasubramaniam dan Adun Tronoh Paul Yong Choo Kiong yang dipecat sebelum ini sebagai beban buat parti.
Kenyataan itu juga menegaskan bahawa ahli DAP yang hadir dalam sidang media pagi tadi bersama Sivasubaramaniam akan dilucutkan keahliannya dengan serta-merta.
"Organisasi Akar-umbi DAP di Kawasan Buntong kekal kukuh dan teguh. Pimpinan cawangan yang ada tidak akan terjejas dengan pengumuman Sivasubramaniam tadi," kata kenyataan itu lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai