Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anak Apak yang membanggakan ramai orang

ULASAN | Ia adalah zaman PageMaker menjadi satu keajaiban dan 'syurga' manakala suara yang tidak sependapat dengan kerajaan sedang merentung dalam 'neraka'. Ketika itu harapan dan kelainan dibawakan oleh segelintir orang yang berani.

Proses penerbitan akhbar masih bergantung kepada komputer yang hanya memaparkan aksara. Skrinnya gelap gelita - seperti takdir politik zaman itu - dan tulisan yang terpapar berwarna hijau.

Teman paling akrab pengatur reka letak pula ialah kertas putih, pisau dan cow gum. Sesekali menanggalkan kesan gam itu pada jari-jemari dan menggentelnya adalah suatu hal yang sangat mengasyikkan.

Kemudian adalah Harakah yang menjadi suara penentang arus. Ia terbitan PAS sebagai wadah menyampaikan berita yang berbeza daripada saluran RTM yang maha membosankan.

Dan tidak dapat dibayangkan bagaimana Harakah ketika itu jika tiada susuk bernama Subky Latif.

Harakah ketika itu bukan sekadar khabar buruk tentang kerajaan. Ia juga pembakar semangat jihad. Di dalam setiap helaian akhbar itu terisi bukan sekadar maklumat berita tetapi doktrin khusus daripada kepemimpinan PAS.

Juga daripada Subky sendiri. Beliau membelai pembaca melalui pojoknya yang hampir tidak pernah membosankan. Di sisi pojok itu ialah kolum beliau sendiri.

Dalam bahasa mudah, halaman tersebut adalah sebuah autonomi bernama Subky. Ketika orang lain menghentam atau memaksakan fikrah mereka ke kepala pembaca, Subky memilih jalan lain - meskipun matlamatnya adalah sama.

Tanpa pernah bersikap jemawa, Subky selalu mengulas sesuatu isu secara santai dan bersahaja. Lebih daripada itu beliau gemar melihat dari sudut pandang yang berbeza daripada orang lain.

Maka ia menjadikan wartawan veteran itu istimewa.

Kolum beliau - yang beberapa kali bertukar - serta pojoknya selalu bersahaja. Membacanya seolah-olah kita sedang berborak dengan Subky. Ia tidak skema dan merimaskan seperti karangan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia - suatu penyakit yang nampaknya masih meluas dalam kalangan sesetengah penulis sekarang ini.

Dalam kolumnya Subky menggunakan beberapa istilah yang agak nadir. Biasanya di pembukaan ayat beliau. Arakian, syahdan dan sayugia misalnya. Sesekali berlaku kesalahan ejaan namun ia tidak pernah mengganggu atau menyakitkan hati.

Keunikan pada Subky menjadikan kesilapan itu dimaafkan - dan dilupakan - sesaat saja selepas itu.

"Kolumnis paling baik," kata seorang ahli parlimen sepenggal dan penerbit akhbar, Allahyarham Ikhwan Nasir lebih kurang, "ialah Subky. Kau tengok macam mana dia tulis satu dua ayat kemudian dia ketuk."

Benar. Tidak ramai penulis yang mampu memadatkan idea mereka dengan baik seperti Subky. Sudahlah ideanya padat, di akhir tulisan itu pula ada yang akan dikenakan. Kadang-kadang berturut-turut.

Menulis pojok tidak mudah. Apa lagi dalam batas akhbar tabloid yang begitu terhad. Sudahlah lebarnya hanya dua atau tiga kolum, akhbar itu pula bersaiz kecil.

Subky melakukannya dengan bergaya.

Begitu juga halnya dengan tulisan beliau. Kadang-kadang isu yang besar dan rumit, sesekali isu sepele atau bahasa. Mencadangkan bahawa istilah perdana menteri itu adalah salah, misalnya. Lalu beliau menyarankan perkataan yang benar ialah menteri perdana.

Pernah juga Subky mencadangkan bahawa Imam Bukhari adalah pengasas kepada amalan pemberitaan penyiasatan. Bagi sesetengah orang ia mungkin mengarut, tetapi selepas membaca hujah dan konteksnya, Subky berhak berkata begitu.

Apa lagi yang lebih baik buat seorang pencari maklumat kebenaran selain memburu maklumat itu ke sumber paling asalnya? Dan itulah yang dilakukan Imam Bukhari semasa mengumpulkan hadis-hadis sahih Rasulullah SAW.

Betul, bukan Subky seorang saja memiliki kelebihan mampu menjelaskan hal yang kompleks dengan cara dan gaya yang mudah. Ada, tetapi tidak ramai. Kadang-kadang ada pula penulis yang cenderung menyulitkan hal yang mudah kerana beranggapan ia akan menjadikan mereka kelihatan lebih cerdik berbanding orang lain.

Kelihatan Subky melakukan tugasnya dengan sangat mudah dan indah serta bebas daripada sikap jemawa.

Selalu juga beliau membawakan kepada pembaca sisi yang berbeza dalam sesuatu isu. Jika kelihatan bertentangan dengan sikap pemimpin pun, ia tetap bersopan dan tidak menyakitkan atau membuat pembaca berkerut muka.

Di situ rasanya pengalamanlah yang banyak membentuk beliau sebagai penulis.

Ia bukan sesuatu yang aneh, rasanya. Kecintaan beliau kepada Islam membantu memudahkan ia berlaku secara semula jadi. Semua idea yang diperkatakan selalu bersandar kepada asas agama.

Pernah suatu ketika apabila Harakah disekat dan dipersulitkan, beliau menghasilkan tulisan secara harian. Alasan beliau, agar kelancaran penulisannya tidak terganggu. Maka lahirlah beberapa buku tulisan tangan Subky.

Pedulilah apa saja tajuknya. Nama Sukby yang tercetak di kulit depan buku itu saja sudah cukup untuk menjadikan naskhah berkenaan kelihatan memberahikan.

Hal itu kadang-kadang boleh menyebabkan orang sedikit kecewa jika ia dinilai kepada kemunculan beliau sebagai orator. Biasanya begitulah. Seorang penulis yang baik selalunya bukan pemidato yang asyik.

Ia memang dapat difahami kerana seseorang penulis akan menurunkan ideanya menggunakan istilah terpilih dan ayat yang terancang. Ia hanya dapat dilakukan dengan berkesan di depan mesin taip atau komputer, bukannya di sebalik rostrum di atas pentas ceramah.

Pidato yang ditunggu-tunggu biasanya hanyalah ucapan yang berapi-api dan membolak-balikkan perasaan pendengar. Seorang penulis yang cermat - seperti Sukby - tidak mempunyai masa untuk melakukannya di atas pentas ceramah.

Sukby juga menulis semacam autobiografi beberapa tahun lalu. Jika tidak silap beliau merancang untuk menghasilkannya secara bersiri. Tiga siri. Anak Apak adalah yang pertama. Dan ia sangat 'lumayan'.

Namun secara peribadi saya rasa Propagandis Zaman adalah satu kesilapan. Subky wajar membiarkan Anak Apak tamat begitu saja. Cuma sudah tentu ada orang lain yang berpendapat sebaliknya.

Sebahagian besar hayat penulisan beliau yang dapat dilihat umum selalu mencerdaskan pembaca. Beliau melakukan tugas itu dengan sangat baik. Cuma di penghujung perjalanan hidupnya Subky dilihat mula tidak lagi objektif seperti sebelum itu.

Doktrin walak nampaknya benar-benar tertanam dalam pemikiran beliau.

Kini Subky tinggal nama. Jasa dan sumbangan beliau akan tetap dikenang-kenang orang. Daripada wartawan yang berkhidmat sebuah akhbar yang pernah memusuhi PAS, beliau menjadi PAS itu sendiri.

Ketika PAS berubah, Subky pun berubah. Dan Harakah bukanlah Harakah tanpa beliau.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.