Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Laporan: Perak tangguh pembalakan di Hulu Chepam selepas protes Orang Asli

Kerajaan Perak telah mengeluarkan arahan untuk menangguhkan semua kegiatan pembalakan di hutan Hulu Chepam selepas bantahan dari Orang Asli Temiar, yang menuntut hak ke atas tanah tersebut.

Menurut The Malaysian Insight, peguam David Gurupatham berkata arahan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Perak pada Rabu lalu, selepas perjumpaan melibatkan pihak berkuasa, syarikat pembalakan dan wakil masyarakat Orang Asli.

“Dalam perbincangan dengan semua pihak (pada Rabu) Jabatan Perhutanan telah serahkan surat penangguhan aktiviti pembalakan,” katanya seperti dipetik laporan itu.

David mewakili penduduk Orang Asli yang mahukan deklarasi hak ke atas hutan tersebut sebagai tanah adat mereka.

Menurut laporan, aktiviti pembalakan di hutan tersebut telah beroperasi seminggu lalu, setelah kerajaan melonggarkan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP) terhadap sektor ekonomi.

Hal itu membuatkan penduduk Orang Asli Temiar sekali lagi mendirikan sekatan di Kampung Sungai Papan.

David kemudian ditugaskan untuk memfailkan satu permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Perak bagi menghalang pihak berkuasa merobohkan sekatan dibuat oleh Orang Asli yang kemudiannya bertukar menjadi satu protes.

Kerajaan negeri kemudian dipanggil untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut.

Bagaimanapun, peguam itu berkata pihaknya akan tetap memfailkan satu deklarasi di Mahkamah Sivil bagi mengisytiharkan kawasan 42 hektar sebagai tanah adat Orang Asli.

Pada Julai tahun lalu, pertembungan antara kedua-dua pihak itu terjadi sehingga mengakibatkan tiga Orang Asli ditangkap oleh pihak berkuasa.

Mereka kemudian dibebaskan beberapa jam selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu, P Waythamoorthy, mengecam penahanan itu.

Pembalak juga dilaporkan merobohkan sekatan yang didirikan oleh Orang Asli.