Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lapan tahun tinggal di kandang lembu

Selepas rumah mereka terbakar sejak lapan tahun lalu, lima beranak daripada Badang, Kota Bharu terpaksa menjadikan kadang lembu sebagai pondok tempat berteduh dari panas dan hujan.

Di kandang daif yang menjadi kediaman mereka itu, ada ruang yang terlalu sempit sehingga terpaksa menundukkan kepala setiap kali masuk ke dalam pondok, malah mereka pun hanya tidur beralaskan lantai kayu yang pernah dijadikan tempat pembuangan najis lembu.

Kata Nasarudin Mat Ali, 39, pondok itu juga tidak mempunyai tandas, menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa menumpang rumah ibunya setiap kali mahu membuang air besar atau kecil, kira-kira 40 meter dari pondok berkenaan.

Bekalan elektrik juga hanya disambung dengan rumah ibunya, berdasarkan laporan Harian Metro.

Kata Nasarudin, sebelum ini, dia bersama isteri dan tiga anaknya tinggal kedua-dua ibu bapanya sebelum rumah itu terbakar pada 2012.

Selepas itu, nasib malang mereka mendapat perhatian seorang wakil rakyat yang membantu membina rumah lebih selesa buat mereka.

Namun memandangkan rumah yang dibina itu mempunyai ruang agak terhad, Nasarudin mengambil keputusan untuk membawa keluarganya tinggal di kandang lembu milik arwah ayahnya.

Katanya, kandang itu dijadikan pondok dengan menggunakan kayu yang diambil daripada sisa rumah yang terbakar.

"Lebih membimbangkan saya dan isteri, pondok ini juga sudah tiga kali dimasuki haiwan berbisa seperti ular tedung selain terpaksa menahan sejuk jika hujan kerana pondok kami dimasuki air akibat atap bocor dan dinding berlubang," katanya seperti dipetik Harian Metro.

Nasarudin bekerja dengan adiknya yang mengambil upah memasang lantai mozek dengan pendapatan RM50 sehari yang tidak menentu, selain turut menjual air tebu untuk menampung keluarganya.

Katanya, dia pernah memohon mendapatkan bantuan perumahan menerusi e-kasih, tetapi tidak mengetahui statusnya sehingga kini.

Pegawai Komunikasi Korporat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Mohd Norhisham Abdullah berkata, Maikb akan menyemak semula bantuan untuk keluarga tersebut, selain mempertimbagkan bantuan persekolahan untuk dua anak Nasarudin yang masih bersekolah rendah.

Norhisham berkata demikian ketika menyampaikan bantuan sebanyak RM1,000 kepada keluarga tersebut.