Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis selamatkan 28 mangsa pemerdagangan manusia di Kulim

Seramai 28 pendatang tanpa izin pelbagai warganegara dipercayai mangsa pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan polis hasil serbuan di sebuah rumah dua tingkat di Taman MBI Desaku, Padang Serai dekat Kulim, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah, SAC Sapii Ahmad berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menyerbu rumah tersebut pada jam 2.30 pagi.

“Hasil serbuan, kita telah menahan tujuh lelaki warga Pakistan, lapan lelaki India dan 13 lelaki Bangladesh yang berumur antara 21 hingga 44 tahun yang kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Siasatan awal mendapati kesemua mereka ini baru tiba di rumah itu dari Kuala Lumpur dan ditempatkan sementara di rumah berkenaan sebelum dihantar ke tempat lain bagi tujuan pemerdagangan untuk bekerja sebagai buruh paksa,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar, hari ini.

Sapii berkata semasa serbuan, seorang lelaki yang disyaki sebagai penjaga rumah berkenaan telah berjaya melarikan diri dengan masuk ke kawasan hutan berhampiran Jalan Kulim-Baling dan telah meninggalkan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Kita masih mengesan pemilik kenderaan untuk siasatan lanjut. Kesemua yang ditahan kini ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya.

- Bernama