Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

MTEM: Mana agenda ekonomi Melayu pasca-PKP?

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendakwa belum ada tindakan konkrit daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mengangkat ekonomi Melayu dan Bumiputera selepas perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Yazid Othman, berkata MTEM menyanjung tinggi usaha kerajaan menangani Covid-19 dan pakej rangsangan bagi memulihkan ekonomi negara.

Namun katanya, MTEM melihat pada jangka masa panjang masalah sistemik yang membantutkan dan pembangunan ekonomi Melayu dan Bumiputera masih wujud.

"Seperti biasa dan belum ada tindakan konkrit oleh kerajaan ini. Demi kelestarian negara, usaha agenda bumiputera perlu terus diperjuangkan untuk pastikan kemakmuran dan pembangunan dikecapi bersama secara saksama dan adil.

"MTEM ingin menyatakan kesan wabak ini, dan kelembapan ekonomi yang menyusul akan mengakibatkan jurang pendapatan dan kekayaan antara yang kaya dan miskin semakin bertambah. Orang melayu dan Bumiputera yang akan paling terkesan dengan keadaan ini.

"Oleh itu kita menyarankan kerajaan PN untuk berani bertindak segera supaya keadaan ini tidak berlarutan. MTEM menolak pendapat yang mahu kerajaan tidak mengambil peranan utama dalam ekonomi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin mengumumkan peruntukan khusus bagi membantu rakyat serta peniaga berdepan situasi sukar akibat wabak Covid-19.

Antara selain pakej rangsangan bagi membantu usahawan kerajaan juga memperkenalkan Bantuan Prihatin Rakyat (Prihatin) bagi membantu golongan yang terjejas termasuk B40 dan M4O.

Ahmad Yazis berkata, selepas lebih tahun 50 tahun dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) kedudukan ekonomi bumiputera masih belum boleh dibanggakan atau menjadi seperti yang diharapkan.

"Mengikut data terkini, kebanyakan daripada Bumiputera umumnya adalah hanya pekerja dan pengguna. Justeru, mereka umumnya bukan majikan atau penjana pekerjaan.

"Kita menuntut kerajaan untuk mempunyai semangat dan keberanian untuk benar-benar memperjuangkan agenda ekonomi Melayu dan Bumiputra seperti waktu zaman Tun Abdul Razak dahulu pada tahun 70-an," katanya.