Kamarul Zaman pelik pemimpin DAP mahu samannya
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff hari ini mempersoalkan tindakan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy kerana mahu menyamannya atas tuduhan memfitnah.
Menurut Kamarul Zaman, ini kerana saman fitnah yang ditujukan kepadanya itu dibuat atas kenyataan yang dibuat oleh orang lain dan beliau hanya berkongsikannya di media sosial.
“Pelik juga bila difikirkan mengapa saya yang dijadikan sasaran utama untuk disaman oleh Dr P Ramasamy, begitu juga oleh pemimpin lain sebelum ini, sedangkan saya sekadar berkongsi kenyataan yang dibuat oleh individu-individu lain sahaja," kata pensyarah yang mesra PAS itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ramasamy semalam yang berkata bahawa beliau akan menyaman Kamarul Zaman atas tuduhan memfitnah.
Tindakan undang-undang itu susulan laporan polis oleh pembantu Ramasamy terhadap Kamarul Zaman pada Ogos 2019 yang didakwa melakukan fitnah dan menimbulkan ketegangan antara kaum dan agama.
Ramasamy mendakwa bahawa Kamarul Zaman, antara lain, dalam penyataannya di Facebook menuduhnya sebagai “ejen asing yang bersimpati dengan sebab pengganas”.
Namun, Kamarul Zaman berkata, bukan dia yang melabel Ramasamy sebagai "ejen asing" tetapi Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad yang berbuat demikian.
“Sukalah saya jelaskan bahawa yang memanggil Dr P Ramasamy “seorang ejen asing” bukanlah saya tetapi Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, dan yang memanggil Dr P Ramasamy “seorang yang bersimpati dengan satu kumpulan pengganas” juga bukanlah saya tetapi Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir, dan saya sekadar mengongsi kedua-dua kenyataan yang dibuat oleh mereka sahaja," katanya.
Menurut Kamarul Zaman, beliau tidak pernah terbaca dalam mana-mana laporan media sebelum ini mengenai hasrat Ramasamy mahu menyamannya.
Bagaimanapun katanya, Ramasamy dilaporkan mahu menyaman Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman dan pemimpin pemimpin ulama parti itu Mohd Khairuddin Aman Razali kerana mendesak pihak berkuasa untuk menangkap Ramasamy.
"Mengapa saya dijadikan sasaran, Ramasamy?" soal Kamarul Zaman.
Semalam, Ramasamy memberitahu media mengenai niatnya untuk menyaman Kamarul Zaman dan peguamnya telah menyiapkan surat tuntutan yang akan dihantar kepada pensyarah itu selewat-lewatnya pada 25 Jun.
Kamarul Zaman semalam mengesahkan bahawa dia telah memulakan prosiding fitnah terhadap Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, MP Kepong Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen dan bekas naib ketua parti itu Ariffin Omar.
Kamarul mendakwa bahawa kelima-lima pemimpin DAP itu telah memfitnahnya di media sosial dan melalui artikel dalam talian sejak 2017 berikutan laporan polisnya terhadap speaker Selangor, Hannah Yeoh, di mana dia mendakwa Yeoh menyokong "agenda Kristian" melalui bukunya.
Berdasarkan surat tuntutannya, Kamarul meminta ganti rugi RM5 juta daripada kelima-lima pemimpin DAP itu.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai