Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

'Pak Subky ibarat muzium bergerak PAS'

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan bekas wartawan kanan dan veteran parti itu, Allahyarham Subky Abdul Latif sebagai ‘muzium bergerak’.

Malah, Tuan Ibrahim yang juga menteri alam sekitar dan air berkata, kehilangan Allahyarham seperti kehilangan memorial sejarah yang sangat penting.

“Saya secara peribadi kenal beliau lama dan beliau ini dialah sahabat, dialah guru, dialah penasihat dalam konteks parti.

“Beliau ini antara tokoh yang hebat dan banyak berjasa dalam parti. Bagi kami kehilangan Pak Subky ini macam kehilangan memori sejarah yang sangat penting.

“Saya sebut dia ini ‘muzium bergerak’, sejarah hanya banyak dalam kepala beliau. Setiap kali bertemu beliau akan bercerita sejarah perjuangan parti, orang yang sangat berpengaruh dan kita lihat sumbangan beliau ini mudah-mudahan dapat disambung oleh generasi kini dan akan datang,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditemui Malaysiakini selepas selesai solat jenazah Allahyarham di Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur, lewat petang tadi.

Wujudkan memorial kenangan

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata PAS sedang mengusulkan untuk mewujudkan satu memorial buat mengenang pemikiran Allahyarham.

“Kita sedang menyusul untuk mewujudkan satu memorial kenangan pemikiran Pak Subky untuk kita hayati. Beberapa buku yang beliau tulis dan pemikiran beliau,” katanya.

Sementara itu, mengulas pesanan terakhir arwah kepada Tuan Ibrahim, pemimpin kanan PAS berkata setiap kali bertemu, Subky pasti akan memberikan kata-kata semangat dan ini antara pesanan terakhir yang dikongsikan beliau:

“Dia sering kali menyebut soal cabaran politik ini tidak sentiasa ada dalam Muafakat Nasional, memperkasakan semula Muafakat Nasional bagi menghadapi pilihan raya dan mengambil peranan PAS ketika ini,” katanya.

Sementara itu, pemimpin ulama PAS, Khairuddin Aman Razali yang ditemui di Tanah Perkuburan Raudhatus Sakinah, Kuala Lumpur menyifatkan pemergian Subky satu kehilangan yang besar kepada parti dan rakyat Malaysia.

Katanya, Subky yang sememangnya terkenal sebagai seorang yang bersemangat tidak pernah kenal erti jemu dalam perjuangannya.

“Baik pembangkang atau kerajaan hari ini mereka sangat hormati Pak Subky dan beliau juga seorang tokoh wartawan terkenal dengan idea-idea yang jauh ke hadapan, melangkaui apa yang kita fikir hari ini dan pemergian beliau saya anggap satu kehilangan besar bagi rakyat Malaysia, khususnya bagi PAS.

“Dan walaupun dia uzur dia sentiasa bersemangat dalam memberikan pandangan dan idea. Itulah Subky Latif.

“Seorang yang tak pernah kenal ertinya penat dalam perjuangan, sampai di usia yang lanjut pun masih aktif dalam parti,” katanya.

Menurut Khairuddin yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi, pandangan yang selalu diutarakan Subky adalah tentang masa depan negara, Islam dan politik dengan pandangan yang jauh ke depan.

“Di kala kita membincangkan satu-satu topik dia akan bincang satu lagi topik yang jauh ke depan.

“Itu memang kurnian Tuhan kepada dia untuk berfikir lebih jauh daripada orang lain dan mungkin sebab dia dah dilatih sebagai seorang penulis yang sentiasa melihat apa yang perlu dibuat pada masa depan” katanya.

Oleh demikian, anggota Parlimen Kuala Nerus itu berkata beliau akan mengusulkan kepada PAS untuk menganugerahkan Subky dengan anugerah kehormat ekoran sumbangannya.

“Sebagai veteran mungkin ada anugerah tokoh yang kita boleh berikan hasil daripada sumbangan beliau khususnya di bidang pengurusan parti dan penulisan yang melibatkan parti.

“Itu akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Pusat,”katanya.

Selain itu, turut berkongsi cerita adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Zuhdi Marzuki.

Menurut Zuhdi, Subky ada menyatakan hasratnya untuk menubuhkan sebuah yayasan ketika mereka berdua bermusafir ke Terengganu baru-baru ini.

Kata, Zuhdi hasrat Subky itu bukan sekali diluahkan sebaliknya berkali-kali.

“Boleh dianggap ini pesanan terakhir dan cita-cita arwah untuk wujudkan yayasan yang akan bantu PAS secara langsung di mana sumbangan dia boleh datang daripada orang-orang, pesara dan juga mereka-mereka yang sudah stabil hidupnya

“Insya-Allah saya sendiri akan usahakan benda ini supaya ia jadi realiti. Mungkin kita akan tubuhkan Yayasan Subkhi Latif yang akan membantu PAS khususnya dan juga secara umumnya berkaitan pendidikan,” katanya.

Selain itu, Zuhdi berkata sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) beliau dan arwah juga ada membincangkan mengenai sebuah seminar.

“Kemudian kita ada bincang sebenarnya tapi tak dapat dilaksanakan untuk kita jemput veteran-veteran PAS ini menjadi karyawan tamu di universiti-universiti untuk kita menulis semula sejarah PAS dengan pandangan daripada tokoh-tokoh PAS,” katanya.

Bagaimanapun, Zuhdi berkata ia tetap akan diteruskan dengan tokoh-tokoh lain.

Subky, 80, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.00 pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak-anaknya menerusi satu hantaran di Facebook.

Allahyarham dilapor menghembuskan nafas terakhir dengan ditemani oleh isterinya, Naznah Taha dan semua anak-anaknya.

Allahyarham dikatakan sudah sekian lama uzur tetapi masih aktif menulis, khususnya untuk Harakahdaily.

Allahyarham dikatakan menghidap sakit myelodyplastic syndrome (MDS) atau pre-leukimia.

Jenazah selamat dikebumikan sekitar jam 6.00 petang tadi..