Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Subky Latif meninggal dunia

Bekas wartawan kanan dan veteran PAS, Subky Latif, 80, meninggal dunia kira-kira jam 11.00 pagi tadi, di kediamannya di Taman Karak Utama, Gombak dekat Kuala Lumpur.

Perkara itu dimaklumkan oleh anak-anaknya menerusi satu hantaran di Facebook.

“Dukacita ingin dimaklumkan ayahanda kami Subky Abdul Latif telah pun menghembuskan nafas terakhir.

“Segala salah dan silap mohon diampunkan. Doakan arwah ditempatkan bersama para Nabi, sahabat, orang-orang soleh. Amin,” kata mereka.

Allahyarham dilapor menghembuskan nafas terakhir dengan ditemani oleh isterinya, Naznah Taha dan semua anak-anaknya.

Allahyarham dikatakan sudah sekian lama uzur tetapi masih aktif menulis, khususnya untuk Harakahdaily. Dia dikatakan menghidap sakit myelodyplastic syndrome (MDS) atau pre-leukimia.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Bilal bin Rabah di Taman Koperasi Polis, Kuala Lumpur untuk disembahyangkan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatus Sakinah selepas solat asar.