Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Jumlah mangsa banjir di Johor turun 607 orang

Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun kepada 607 orang membabitkan 153 keluarga setakat 8 malam ini selepas tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan, berkata tiga PPS itu adalah Sekolah Agama Air Putih di Batu Pahat serta Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Hj Adnan dan SK Kampung Sawah di Pontian.

Katanya, ketiga-tiga PPS itu ditutup secara berperingkat bermula 5 petang tadi.

“Mangsa banjir di PPS Balai Raya Kampung Peserai di Batu Pahat telah dipindahkan ke SK Peserai yang baru dibuka pada jam 6 petang tadi.

“Secara keseluruhan, terdapat 10 PPS melibatkan tiga daerah yang masih beroperasi setakat ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abas menjelaskan mangsa banjir di PPS Balai Raya Kampung Peserai dipindahkan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Katanya, ia bagi memastikan mangsa berada dalam keadaan selesa, selain mengutamakan penjarakan sosial.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.