Pemerdagangan manusia: 2 'tekong' Rohingya ditahan
Polis menahan dua lelaki Rohingya yang dipercayai terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia, dalam serbuan di Kampung Alor Mengkudu, di Alor Setar malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah SAC Sapii Ahmad berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menyerbu beberapa buah rumah di kawasan kampung berkenaan pada pukul 10.30 malam dan menahan 14 pendatang tanpa izin pelbagai warganegara.
“Hasil serbuan mendapati kesemua rumah yang diserbu itu, dihuni warga Rohingya, Bangladesh dan Indonesia, yang kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Kita menahan 10 lelaki dan dua wanita Rohingya, seorang lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita Indonesia.
“Dua lelaki Rohingya berumur 30-an yang ditahan mengaku sebagai tekong dan membawa masuk pendatang asing ke negara ini, akan disiasat di bawah Seksyen 26 (A) Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya kepada Bernama di Alor Setar, hari ini.
Sapii berkata, 12 lagi pendatang asing yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu tinggal tanpa dokumen perjalanan yang sah.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai