Peter Anthony masuk wad, pendakwaan ditangguh 10 Julai
Pendakwaan terhadap Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ditangguhkan ke 10 Julai.
Penangguhan itu dibuat selepas Adun Melalap dari Warisan itu dimasukkan wad kerana mengalami vertigo di hospital KPJ Kota Kinabalu di Sabah, semalam.
Di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob pagi ini, peguam Peter, Mohamed Haniff Khatri Abdulla mengatakan bahawa anak guamnya pada mulanya sepatutnya menaiki penerbangan jam 4.15 petang dari Sabah ke sini, petang semalam.
Bagaimanapun, Haniff mengatakan bahawa Peter kemudian ditempatkan di hospital swasta di Kota Kinabalu kerana mengalami vertigo.
Haniff berkata bahawa dia dimaklumkan Peter telah menderita vertigo sejak beberapa ketika.
Haniff kemudian berjanji kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memberikan mahkamah dokumen perubatan Peter.
DPP Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudian meminta agar perkara itu disebut pada tarikh yang lain, ketika Peter dapat hadir di mahkamah untuk didakwa.
Rozina kemudian menetapkan 10 Julai untuk Peter didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Ketika selepas prosiding, Haniff mengesahkan hasil prosiding hari ini, sambil menambah bahawa anak guamnya sepatutnya dibacakan satu pertuduhan hari ini.
Bagaimanapun, Haniff mengatakan perincian pertuduhan itu hanya akan diketahui ketika dibacakan kepada Peter di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 10 Julai.
Semalam, dilaporkan bahawa Peter akan menghadapi tuduhan jenayah baru, kali ini di Kuala Lumpur.
SPRM, dalam jemputan media, mengatakan pihaknya telah mendapat kebenaran dari Pejabat Peguam Negara untuk mendakwa Peter tetapi tidak mendedahkan perincian mengenai tuduhan kesalahan itu.
Awal bulan ini, Peter juga didakwa dalam dua pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
Pada 11 Jun, Peter dituduh dengan lima tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM8.75 juta.
Pada 18 Jun, dia dituduh dengan tuduhan bersubahat dengan jenayah pecah amanah berjumlah RM15,545,400 yang melibatkan perjanjian tanah antara 2014 dan 2015.
[Berita lanjut menyusul]
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai