Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

PSM: DBKL perlu batal larangan pelarian masuk ke pasar borong KL

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu segera membatalkan perintah yang melarang pelarian memasuki pasar borong Kuala Lumpur, gesa Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Anggota Jawatankuasa Pusat PSM S Arutchelvan berkata perintah yang dilaporkan itu suatu tindakan "perkauman terang-terangan dan diskriminasi terhadap komuniti tersebut."

"Ia bertentangan dengan kesedaran manusiawi kita pada masa ini bahawa kita mempunyai seorang datuk bandar yang mengeluarkan perintah sedemikian.

"Dengan notis ini, rakyat Malaysia hilang semua kewajaran untuk bercakap mengenai perjuangan gerakan Black Life Matter (BLM-kempen antidiskriminasi kaum Afrika Amerika) atau malah perjuangan rakyat Palestin," katanya.

Malaysiakini melihat notis tiga perkara yang mendapat perhatian aktivis hak migran di media sosial.

Ketika dihubungi, seorang kakitangan DBKL mengesahkan notis bertarikh 19 Jun itu telah dikeluarkan oleh jabatan pelesenannya sebagai sebahagian daripada panduan baru untuk memasuki pasar berkenaan.

"Tindakan itu hanya akan menimbulkan lebih banyak kekacauan dan mempromosikan ucapan kebencian yang tidak perlu dan tindakan yang tidak diingini kerana ia dipersetujui oleh pihak berkuasa.

"Ia bertentangan dengan kemanusiaan dan PSM menggesa supaya perintah itu dibatalkan segera," kata Arutchelvan.

Selain larangan masuk pemegang kad UNHCR, turut dinyatakan bahawa semua warga asing yang mempunyai dokumen sah yang ingin memasuki pasar itu mesti disertai oleh rakyat Malaysia.

Bagi pekerja pasar dan pemegang lesen, notis tersebut menyatakan mereka hanya akan dibenarkan masuk dengan pas yang sah.

Tidak ada alasan untuk larangan itu dinyatakan dalam pemberitahuan tersebut.

Ini walaupun perintah tersebut menyusuli serangkaian laporan berita yang menyokong langkah kerajaan untuk merombak pasar itu dengan menggantikan tenaga kerja yang sebagian besarnya buruh asing dengan penduduk tempatan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.