Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Usah guna prosiding hina mahkamah untuk bungkam kebebasan media: Hakim

Kuasa badan kehakiman tidak boleh disalahgunakan melalui prosiding hina mahkamah terhadap pengkritiknya dan media, kata seorang hakim Mahkamah Rayuan.

Hakim Hamid Sultan Abu Backer berkata, media mempunyai peranan untuk memastikan kebertanggungjawaban, ketelusan dan urus tadbir perundangan yang baik dalam sesebuah negara demokrasi.

Beliau berkata, badan kehakiman perlu memelihara kebebasannya dan tahap kebijaksanaannya dalam membuat keputusan sesuatu kes sebagai sebahagian daripada pemisahan kuasa antara badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman di Malaysia.

Beliau berkata, ia penting kerana badan kehakiman mendukung undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan, yang antara lain mengandungi peruntukan melibatkan hak melindungi kebebasan peribadi dan kesamarataan undang-undang.

Beliau merujuk amalan di United Kingdom, di mana mahkamah di negara itu berulang kali menegaskan bahawa prosiding menghina mahkamah bukan bermaksud mahkamah boleh melindungi tindakan atau kesalahannya sendiri daripada didedahkan atau kuasa arbitrarinya digunakan dengan sewenang-wenangnya tanpa dipersoal atau disembunyikan.

"Pada hakikatnya, kuasa kehakiman tidak boleh disalahgunakan dengan memohon prosiding menghina mahkamah terhadap pengkritik dan media; kerana media bebas adalah benteng kebertanggungjawaban, ketelusan dan urus tadbir yang baik terhadap kedaulatan undang-undang agar demokrasi terus berlangsung.

"Hakim-hakim Inggeris tidak menjadikan orang lain yang memfitnah atau dikatakan memfitnah mahkamah sebagai mangsa," katanya.

"Seperti yang dikatakan oleh Lady (Brenda) Hale (presiden Mahkamah Tinggi UK): 'Kami memiliki kebebasan media dan jika media ingin menyerang kami, terpulang. Tetapi kita harus terus melakukan kerja kita sejajar dengan ikrar terhadap badan kehakiman kita. Kita tidak menumpukan serangan sedemikian rupa," kata Hamid.

"Penting bagi hakim-hakim sendiri memberi perhatian terhadap aspek kuasa kehakiman ini dan tidak membawa malu kepada institusi kehakiman dengan menggunakan kuasa kehakiman sewenang-wenang, dengan melanggar kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau membuat kenyataan tersebut melalui penghakiman Mahkamah Rayuan berhubung dua rayuan membabitkan kes dadah yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 17 Jun yang dilihat oleh Malaysiakini baru-baru ini, Hamid mengetuai tiga panel hakim bersama hakim Rhodzariah Bujang and Hadhariah Syed Ismail

Hamid menjelaskan media dan peguam daripada Majlis Peguam Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO), antara lain merupakan “tonggak perlembagaan untuk melindungi kerosakan dan penyalahgunaan perlembagaan serta hak asasi."

“Pada hakikatnya, demokrasi akan runtuh jika kebebasan bersuara dan hak bersuara di bawah Perlembagaan diruntuhkan oleh tiga tonggak ini dan (jika) badan kehakiman gagal menghentikan pencerobohan badan eksekutif dan perundangan dalam kuasa kehakiman mahkamah serta hak-hak asasi masyarakat termasuk perlembagaan,” kata Hamid.

Pada 16 Jun, Peguam Negara Idrus Harun memfailkan permohonan ex-parte untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Malaysiakini dan ketua editornya.

Pada 17 Jun, Mahkamah Persekutuan dilaporkan membenarkan prosiding komital dimulakan dan menetapkan 2 Julai untuk pendengaran prosiding komital.

Prosiding menghina mahkamah terhadap Malaysiakini menarik perhatian pelbagai pihak, antaranya Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) yang menyatakan kebimbangan bahawa perkara ini akan menyebabkan lebih banyak penapisan terhadap media.

DAP turut mengkritik prosiding menghina mahkamah ini dengan berpendapat portal berita dalam talian tidak boleh dipersalahkan atas komen pembacanya.

[Baca berita asal]