Kes Mkini: 'Jangan salahkan kenderaan jika pemandu punca kemalangan' - DAP
Nota editor: Susulan nasihat guaman, Malaysiakini telah menutup ruangan komen untuk artikel ini.
DAP mengkritik prosiding menghina mahkamah yang dimulakan oleh Peguam Negara, Idrus Harun terhadap Malaysiakini dan ketua pengarang portal berita, Steven Gan.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, Malaysiakini tidak boleh dipersalahkan atas komen pembacanya.
"Walaupun beberapa komen tidak masuk akal dan tidak boleh dimaafkan, Peguam Negara tidak boleh berusaha menghukum Malaysiakini atau Steven Gan atas komen tersebut.
"Tindakan, jika ada, perlu dimulakan terhadap pengulas komen tersebut dan bukannya Malaysiakini.
"Ini sama lah dengan menyalahkan kenderaan atas kemalangan ketika pemandu yang sepatutnya bertanggungjawab," tambahnya dalam satu kenyataan petang ini.
Prosiding menghina itu berkaitan dengan komen yang dibuat di laman web Malaysiakini (versi Inggeris) oleh pembacanya mengenai kehakiman.
Mahkamah Persekutuan semalam membenarkan prosiding itu diteruskan.
Bagaimanapun, kata Lim demi menegakkan kebebasan media tindakan itu perlu ditarik balik.
"AG meletakkan tanggungjawab yang berat di laman web media dengan membuat mereka bertanggung jawab atas apa yang dikatakan oleh orang lain. Untuk semua maksud dan tujuan, bertindak lah terhadap pihak yang membuat komen tidak bertanggungjawab itu tetapi bukan kepada portal berita yang tidak menyokong pandangan tersebut," tambahnya. .
Sementara itu, Lim juga meminta polis menghentikan siasatan terhadap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
"Siasatan itu adalah usaha untuk menutup mulut dan menakut-nakutkannya agar tidak membicarakan masalah tertentu atau mengkritik kerajaan Perikatan Nasional," katanya.
Polis sedang menyiasat pemilik akaun Facebook "Hannah Yeoh" di bawah Akta Hasutan kerana didakwa menghasilkan hantaran menghasut.
Bagaimanapun, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu menegaskan hantaran media sosial itu, yang dikaitkan dengannya, adalah palsu.
Pemimpin DAP itu juga disiasat berhubung ciapan sahih miliknya bertarikh 9 Mac yang bertanya mengenai nasib Pelan Strategik Nasional untuk Menangani Punca Perkahwinan Di Bawah Umur di bawah penggantinya Siti Zailah Mohd Yusoff.
Ketua Polis Negara Hamid Bador telah memberi jaminan bahawa polis hanya mengikuti prosedur dan ini bukan usaha untuk menakut-nakutkan ahli politik.
Menurut Lim, pihak berkuasa juga perlu bertindak terhadap penyokong PN yang salah.
"Pihak berkuasa harus konsisten dengan bertindak tegas terhadap aktivis pro-PN yang menyebarkan pembohongan terhadap pemimpin Pakatan Harapan, seperti pembohongan terhadap saya dan anak saya yang ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura dengan wang tunai RM2 juta," tambahnya.
Pada bulan Mac, dilaporkan bahawa anak seorang "pemimpin kanan Pakatan Harapan" didakwa ditangkap setelah dia berusaha membawa masuk RM2 juta ke Singapura tanpa pengesahan yang sewajarnya.
Blog kontroversial Malaysia Today kemudiannya mendakwa pemuda yang terlibat itu ialah anak lelaki Lim.
Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata dakwaan berkenaan tidak benar.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai