Dr M: Saya tak pernah mungkir janji
EKSKLUSIF | Dr Mahathir Mohamad, 95, kini berusaha untuk menjadi perdana menteri sekali lagi dalam langkah mengambil alih kerajaan dari Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, ia menyebabkan perselisihan dengan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH).
Sejak dua hari lalu, pelbagai kenyataan terbuka oleh pemimpin PH mendedahkan bahawa Mahathir mencadangkan agar diberi tempoh memegang jawatan perdana menteri selama enam hingga 12 bulan sekiranya mereka berjaya mengambil alih kerajaan.
Namun, ada keraguan terhadap Mahathir untuk melepaskan jawatan itu mengikut tempoh yang ditetapkan, sekiranya PH dan sekutu mereka berjaya membentuk kerajaan baru.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini pagi ini, Mahathir memberi jaminan bahawa beliau sentiasa menunaikan janjinya,
"Kalau sampai masa saya janji, saya akan tunaikan janji.
"Boleh semak saya punya kelakuan sejak saya jadi perdana menteri bahkan sebelum itu, saya tak pernah mungkir janji," katanya.
Sebagai contoh, Mahathir berkata beliau menepati janjinya untuk mengundurkan diri pada tahun 2002, yang memungkinkan peralihan kuasa yang lancar setelah 22 tahun menerajui pentadbiran.
"Pada masa itu, (Lim) Kit Siang berkata saya tak mungkin letak jawatan. Ini semua sandiwara. Tapi seperti mana yang kita tahu, sampai masa yang cukup, saya letak jawatan. Saya tak pernah mungkir janji. Tunjuk di mana saya mungkir janji?" katanya.
Sokongan parti Melayu
Ketika ini, Pakatan Harapan (PKR, DAP dan Amanah) sedang berunding dengan Warisan dan bekas anggota parlimen Bersatu yang setia kepada Mahathir mengenai kemungkinan pembentukan kerajaan baru.
Namun sejak rundingan bermula pada 30 Mei, timbul pertikaian berhubung peneraju utama pentadbiran baru itu kelak, sama ada Mahathir atau Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Daripada kenyataan umum yang dibuat oleh pemimpin parti setakat ini, Warisan, DAP dan Amanah nampaknya menyebelahi Mahathir sementara PKR memihak kepada Anwar.
Mahathir mendedahkan bahawa pendirian Warisan dalam perundingan setakat ini adalah bahawa beliau harus dicalonkan sebagai calon perdana menteri PH Plus kerana ia penting untuk menunjukkan "parti Melayu" adalah sebahagian daripada gabungan itu.
"Kalau PH ternampak seolah-olah ini gabungan parti campuran berbagai kaum, saya khuatir ahli-ahli Dewan rakyat Melayu tidak akan bagi sokongan dan kalau tak ada bagi sokongan, tak apalah.
"Nak jadi perdana menterikah, nak jadi apa pun, tetapi kalau tak dapat sokongan tak dapat jadi kerajaan.
"Pemilihan (calon) sebagai perdana menteri pun tak ada makna. Bukan calon yang penting, tapi kemenangan mendapat majoriti yang penting.
"Saya tak boleh guarantee (jamin), tapi itu pengalaman kita, bila tak ada sokongan parti titik Melayu, parti lawan tak pernah menang," katanya.
Perbetul kerosakan Muhyiddin
Dalam jangka waktu enam bulan, menurut Mahathir, beliau akan berundur setelah Sidang Kemuncak Asia Pasifik (APEC), yang dijadualkan pada bulan November.
"Walaupun APEC mungkin tidak diadakan, tapi lepas APEC, iaitu akhir tahun ini, saya akan letak jawatan.
"Tetapi saya yakin bahawa perkara-perkara yang perlu dilakukan, saya boleh tunjuk cara-cara untuk melakukannya," katanya.
Sekali lagi, Mahathir menekankan bahawa penting untuk memastikan PH Plus mengalahkan PN terlebih dahulu, dengan mengatakan bahawa mereka mempunyai "banyak kerja" yang harus dilakukan.
Tambahnya, ini kerana PH Plus mempunyai tugas tambahan, iaitu membetulkan kesalahan yang dilakukan pemerintahan Muhyiddin.
Mahathir berkata bahawa ketika PH membentuk kerajaan setelah memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14, mereka telah mengubah amalan meletakkan ahli politik mengetuai entiti yang berkaitan dengan kerajaan, dan menggantinya dengan golongan profesional yang sesuai dengan peranan tersebut.
"(Sekarang) bukan saja kesalahan Najib (Razak) dulu perlu diperbetulkan, tapi kesalahan Muhyiddin ini lebih besar.
"Kita telah tukar dari orang politik kepada (golongan) profesional (dalam mengetuai GLC), orang yang cekap dalam bidang perniagaan dan sebagainya.
'Sekarang ini dia (Muhyiddin) tukar kepada orang politik balik. Sekali lagi akan berlakulah penyelewengan, curi duit dan sebagainya," katanya.
Mahathir berkata, jika rancangan PH Plus berjaya untuk mengambil alih semula kerajaan, gabungan itu juga harus melihat campur tangan politik dalam urusan pemerintahan dan sistem kehakiman.
Mahathir berkata bahawa beberapa kes mahkamah telah menyaksikan mereka yang didakwa dengan pengubahan wang haram, rasuah dan curi wang dibebaskan dari tuduhan baru-baru ini.
"Ini kita kena kaji semula. Kerana kalau kita mendapati ada pengaruh politik dalam sesuatu urusan kerajaan, kita mesti mengurangkan pengaruhnya.
"Kerajaan mesti berjalan sesuai dengan tatatertib kerajaan, undang-undang dan peraturan," katanya.
Berhubung sama ada beliau bersedia memainkan peranan sebagai pembangkang sekiranya tawaran PH Plus tidak berjaya, Mahathir berkata beliau tidak akan mempunyai pilihan kerana beliau tidak bersedia untuk bekerja dengan Muhyiddin.
"Kalau kita tak dapat menang, apa nak buat? Tunggulah pilihan raya. Dalam pilihan raya, rakyat akan tentukan walaupun rakyat akan disogok seperti dulu.
"Sebab cash is king (wang adalah segala-galanya). Slogan itu sudah kembali, didokong orang yang (dulu) menentang.
"(Tapi) saya yakin rakyat umumnya tidak suka amalan cash is king. Seperti mana PRU ke-14, mereka tolah cash is king, saya yakin dalam PRU ke-15 pun (rakyat akan tolak).
"Walaupun banyak duit akan diberi kepada rakyat untuk sokong parti Muhyiddin, Umno dan PAS, saya yakin rakyat tidak akan pilih mereka," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai