Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis cekup 42 warga China didakwa sindiket judi dalam talian

Polis menahan 42 warga China termasuk dua wanita, selepas menyerbu beberapa unit di sebuah kondominiun di Jalan Tun Razak, dekat Kuala Lumpur, Selasa lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyataan berkata, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, menahan kesemua suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun, dalam serbuan bermula 5.30 petang itu.

Beliau berkata, hasil siasatan dan pemeriksaan mendapati modus operandi sindiket ini adalah mempromosikan judi dalam talian bagi pasaran luar negara iaitu China, dengan menggunakan aplikasi WeChat, Whatsapp dan QQChat.

“Sindiket ini menghantar ratusan pesanan WeChat, Whatsapp, QQChat kepada pelanggan di negara China, dan telah beroperasi selama lebih kurang dua bulan.

“Jumlah bayaran sewa setiap unit premis adalah RM6,500 dan anggaran gaji bulanan setiap pekerja adalah RM2,500 hingga RM3,000. Premis beroperasi pada setiap hari bermula jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam dan pekerja sindiket akan mengawal komputer utama serta telefon bimbit,” katanya.

Mazlan berkata, sebanyak 24 set komputer, 273 telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah komputer riba, serta beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk menjalankan operasi perjudian dalam talian, dirampas untuk siasatan.

Menurutnya, semua suspek direman 14 hari sehingga 1 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan sebarang kegiatan perjudian haram, ini kerana tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil, terhadap penganjur serta pelanggan yang bermain atau berada di dalam premis yang menjalankan kegiatan perjudian haram berkenaan.

Polis juga meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat, sekiranya terdapat sebarang kegiatan yang mencurigakan di kawasan tempat tinggal masing-masing, memandangkan sindiket sebegini memilih kondominium mewah atau banglo, sebagai tempat beroperasi, katanya.

- Bernama