Lelaki guna sabit cuba samun bank, tahan tebusan ditembak mati
Seorang lelaki mati ditembak pengawal keselamatan ketika cuba menyamun sebuah bank serta menahan seorang pelanggan sebagai tebusan di Felda Ayer Tawar 5, Kota Tinggi hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor SAC Md Yusof Ahmad berkata dalam kejadian 2.04 petang itu, suspek yang berumur 19 tahun bersenjatakan sabit telah masuk ke kawasan perkhidmatan bank serta mengacukan sabit ke leher seorang wanita, pelanggan bank itu.
“Melalui rakaman CCTV (kamera litar tertutup) dan percakapan saksi, kita dapati suspek datang berseorangan dan terus tarik seorang perempuan yang berada di hadapan bank.
“Suspek kemudian campak beg beritahu nak duit sambil meletakkan sabit di leher mangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.
Ketika itu, katanya pengawal keselamatan yang berada dalam bank mengambil peluang melepaskan tembakan ke arah suspek dari jarak dekat iaitu kira-kira lima meter.
Katanya tembakan mengenai bahagian rusuk kanan suspek dan suspek disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Md Yusof berkata kakitangan dan pelanggan termasuk tebusan wanita itu terselamat dalam kejadian tebusan yang berlaku kira-kira setengah jam itu.
Katanya mayat suspek dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat dan menurutnya siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai