Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

AMK Kelantan harap Dr M pula berkorban beri laluan pada Anwar

Pemuda PKR (AMK) negeri Kelantan berharap isu bagi menentukan calon perdana menteri Pakatan Harapan Plus (PH Plus) kali ini dapat diselesaikan dengan pengorbanan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Ketua AMK Kelantan Muhd Hafiz Muhd Kasasi berkata, pihaknya merasakan sudah sampai masanya untuk Mahathir berkorban selaku negarawan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri.

"Justeru kami menyokong sepenuhnya Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri.

"Kami berharap agar Dr Mahathir selaku seorang negarawan bekorban memberi laluan kepada Anwar.

"Ini bertujuan bagi memastikan semangat setiakawan antara rakan-rakan PH dapat digarap dan mengekalkan prinsip idealisma perjuangan reformasi itu sendiri," katanya.

Semalam, Anwar membuat permohonan maaf terbuka kerana belum dapat memuktamadkan calon perdana menteri PH Plus ketika usaha mengambil semula kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) masih menjadi agenda gabungan berkenaan.

Beliau berkata ada pelbagai aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum keputusan mengenainya diumumkan.

Antaranya, kata Anwar mengenai prinsip reformasi untuk kepedulian terhadap masalah rakyat, mengembalikan keyakinan pelabur dan menjana semula ekonomi negara.

Semalam, DAP mendedahkan berkenaan kebuntuan dalam PH Plus soal calon perdana menteri.

Menurut Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke, beberapa minggu ini PH dan sekutunya telah meneroka dua kombinasi pilihan bagi jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Kombinasi pertama melibatkan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan Mukhriz Mahathir sebagai timbalannya. Sementara kombinasi kedua melibatkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, Warisan dikatakan membantah kombinasi pertama, sementara kombinasi kedua setakat ini tidak dipersetujui oleh penyokong Anwar.

Sementara itu Muhd Hafiz berkata, demi mandat rakyat Mahathir sudah banyak melakukan yang terbaik untuk negara dan kini sampai masanya untuk bersama rakan rakan seperjuangan dalam PH mendukung Anwar.

"Seperti yang kita tahu lebih lama kita biarkan Perikatan Nasional memerintah makin banyak perkara perkara mudarat yang berlaku seolah olah kita kembali pada kerajaan kleptokrasi yang terdahulu.

"Oleh itu seharusnya kita terus melangkah demi kebaikan rakyat untuk memacu negara ke arah yang lebih baik," katanya.