Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Norma baru pengaruhi semua, termasuk proses demokrasi - SPR

Rakyat Malaysia harus menerima hakikat bahawa "norma baru" pasca-Covid-19 akan mempengaruhi semua aspek kehidupan, termasuk proses demokrasi negara, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Harun.

Azhar berkata bahawa ini selepas prosedur operasi standard (SOP) baru yang diumumkan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini , antara lain tidak membenarkan himpunan ceramah dan kempen dari rumah ke rumah.

“Saya tahu bahawa apabila tidak ada ceramah, perhimpunan, dan berkempen dari rumah ke rumah, boleh didebatkan bahawa keberkesanan proses demokrasi agak berkurang.

"Tetapi, situasi semasa wabak Covid-19 menimbulkan risiko serius terhadap rakyat secara keseluruhan dan kita tidak boleh mengambil risiko.

“Ini adalah norma baru yang harus kita jalani, termasuk dengan proses pilihan raya.

"Sudah tiba masa bagi semua orang untuk menyedari bahawa norma-norma baru (akan mempengaruhi) bukan hanya bagaimana kita pergi ke pasar atau pergi ke sekolah, tetapi juga bagaimana kita mengundi dan berkempen.

"Ini merangkumi semua aspek kehidupan kita, sama ada kita suka atau tidak ... ini adalah yang terbaik yang dapat kita lakukan," kata Azhar kepada Malaysiakini.

Namun, mengambil kira situasi ini, katanya, negara dapat mencari cara baru untuk berkempen atau menjalankan proses pilihan raya.

Ketika mengumumkan larangan berkempen secara fizikal untuk PRK Chini 4 Julai Isnin lalu, Azhar menggesa calon untuk menggiatkan kempen dalam talian melalui media sosial.

Bagaimanapun, untuk rekod, SOP itu bukan sesuatu yang akan dipakai selama-lamanya dan akan diperbaharui sejajar dengan perkembangan yang berkaitan, seperti jika langkah-langkah baru akan diperkenalkan setelah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) ditamatkan pada 31 Ogos, atau jika terdapat perkembangan baru dalam usaha mencari vaksin Covid-19.

Terdahulu, Azhar diminta mengulas kebimbangan yang dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk Pilihan Raya, Syed Ibrahim Syed Noh mengenai syarat baru untuk berkempen.

Mengetengahkan larangan berkempen secara fizikal semasa jejak kempen di Chini, sebuah kerusi luar bandar, Syed Ibrahim berkata prinsip pilihan raya bebas dan adil, dan proses demokrasi mesti ditegakkan, walaupun wujud ketakutan Covid-19.

Pemimpin PKR itu menambah bahawa lawatan ke rumah masih mungkin boleh dilakukan jika dibuat dengan syarat ketat, seperti jarak sosial, memakai pelitup muka, dan kunjungan yang diterhadkan hanya untuk empat orang.

Namun, Azhar berkata SOP itu dimuktamadkan setelah beberapa kali berbincang dengan Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Badan Pengurusan Bencana Nasional (Nadma), dan polis.

"Saya perlu menekankan bahawa kebenaran untuk berkempen dan pengeluaran permit kempen bukan dalam bidang kuasa SPR tetapi dengan polis, di bawah Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

"Tetapi sebagai badan pilihan raya di negara ini, kami kekal bersama keempat-empat badan ini ... berdasarkan situasi Covid-19 di negara ini.

"Sejajar dengan PKPP, di mana perhimpunan besar tidak diizinkan, yang dipersetujui bahawa di Chini, sebarang kempen fizikal tidak akan dibenarkan," katanya.

Azhar, yang pernah bertugas sebagai peguam hak asasi manusia sebelum menjawat jawatan SPR, menambah: “SOP difokuskan untuk mencegah atau menurunkan risiko jangkitan Covid-19 sebanyak mungkin. Kita tidak mahu kluster pilihan raya.

"Bayangkan rombongan lima orang untuk satu calon dan salah satunya mempunyai Covid-19. Berapa banyak isi rumah yang akan dijangkiti (dengan lawatan dari rumah ke rumah)?"

Mengenai gesaan Syed Ibrahim agar SPR bekerjasama dengan organisasi media untuk memastikan semua calon mendapat jangkauan yang adil dan wajar, Azhar berkata dia tidak mempunyai kuasa untuk memaksa media untuk melakukannya, terutama media bukan kerajaan.

Namun, dia "meminta" semua perusahaan media untuk "mempertimbangkan untuk memberikan liputan kepada pembangkang" dan menyediakan ruang persaingan yang sama rata.

Berhubung cadangan SPR mengemukakan pindaan terhadap undang-undang dan prosedur pilihan raya yang berkaitan untuk mencerminkan "norma baru" setelah Covid-19, Azhar berkata tiada keperluan bagi perwakilan, seperti pencadang hadir untuk calon pada hari penamaan calon, dan membenarkan pengundian melalui pos.

"Ini hanya isu penggunaan," tambah Azhar.