Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dr M boleh pinggirkan PH lagi, kata Ronnie Liu

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek, Ronnie Liu menyatakan bantahannya terhadap cadangan memilih bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH), seperti yang dibahaskan dalam rundingan gabungan itu.

Dalam catatan di Facebook pagi ini, Liu berkata bahawa dia bimbang Mahathir mungkin menggunakan kedudukan calon perdana menteri PH sebagai tawar menawar untuk berunding dengan bekas sekutunya yang kini merupakan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

"Dia mungkin bersekongkol dengan Muhyiddin dan Azmin Ali lagi jika tawaran itu bagus dan pinggirkan PH," kata Liu yang mempunyai sejarah mengkritik Mahathir dan pernah dirujuk ke jawatankuasa disiplin partinya tahun lalu setelah menerbitkan tulisan berjudul Mahathir: 'The Paper Tiger'.

Liu juga mempersoalkan apakah Mahathir mempunyai kemampuan untuk mendapatkan jumlah sokongan yang cukup dari anggota parlimen dan berpendapat bahawa jika bekas perdana menteri itu gagal melakukannya, PH akan berisiko kehilangan semua kredibilitinya sebagai gabungan politik.

Liu juga tertanya-tanya apakah Yang di-Pertuan Agong bersedia berjumpa dengan Mahathir sekiranya mempunyai sokongan yang cukup.

"Walaupun Mahathir menjadi perdana menteri, dia mungkin menimbulkan masalah baru atau skandal untuk menyukarkan Anwar (Ibrahim) dan pemimpin PH yang lain. Dia mungkin kembali ke jalan lamanya lagi dan Anwar sebagai timbalan perdana menteri akan sukar untuk menghentikannya," tambah Liu.

Pada masa ini, DAP, parti yang dianggotai Liu menyokong usaha Mahathir untuk menjadi perdana menteri sekali lagi di bawah gabungan yang disebut "Pakatan Harapan plus" setelah gagal meyakinkan Warisan untuk mencalonkan gabungan Anwar Ibrahim-Mukhriz Mahathir untuk dua jawatan tertinggi.

"Mahathir mungkin tidak mahu mengundurkan diri setelah enam bulan seperti yang dijanjikan dan sekali lagi menolak untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

"Dia mungkin mengundurkan diri dan keluar dari PH lagi. Atau dia mungkin hanya membubarkan parlimen," kata Liu.

Liu juga mengingatkan bahawa dengan mempunyai persetujuan agar Mahathir dan Anwar sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri, ia dapat menyebabkan Muhyiddin untuk mengadakan pilihan raya awal.