Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri: Tiada pampasan untuk penangguhan HSR

Malaysia tidak akan membayar apa-apa pampasan kepada Singapura dalam penangguhan Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) kerana keputusan itu dipersetujui secara bersama, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali.

Azmin, yang mengetuai Malaysia dalam perbincangan HSR dengan Singapura berkata pasukan dari kedua-dua negara akan bermesyuarat selepas Hari Raya, untuk berdialog lebih lanjut mengenai aspek teknikal projek mega itu.

"Pada prinsipnya, kami telah bersetuju bahawa projek ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara tetapi kami perlu membincangkan lagi mengenai hal teknikal yang membabitkan projek tersebut.

"Oleh itu, kami memerlukan lebih banyak masa. Jika kami boleh memuktamadkan keseluruhan langkah dalam tempoh tiga hingga empat bulan, sudah tentu kami akan bertemu sekali lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan MITI 2019 di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 31 Mei lepas, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pembinaan projek dua hala bernilai RM110 billion itu sehingga 31 Dis 2020.

Projek sepanjang 350 kilometer itu telah ditangguhkan sejak Sept 2018 dan akan disambung semula pada akhir Mei 2020.

Ini merupakan kali kedua projek HSR ditunda sehingga menyebabkan Malaysia terpaksa membayar sejumlah S$15 juta kepada Singapura untuk menampung kos penundaan projek berkenaan.

"Mandat yang diberikan kepada kami apabila kami menangguhkan projek pada 2018 hingga 2020 adalah bagi melihat semula kos projek tersebut, yang merangkumi penjajaran dan reka bentuk baru.

"Alhamdulillah, kami berjaya mengurangkan kos HSR dengan ketara tetapi sekarang, kami telah bersetuju untuk meneruskan projek (diteruskan selepas ditangguhkan pada kali pertama)," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan mempunyai peruntukan yang mencukupi bagi membayar sebarang kos tambahan yang timbul daripada penangguhan kali kedua, Azmin berkata: "Untuk peruntukan itu, kami perlu berbincang lagi.

"Persaoalan untuk pembiayaan projek ini akan dibincangkan memandangkan keupayaan fiskal negara sekarang ini adalah terhad," tambahnya lagi.

-Bernama