Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengangguran pasca-Covid-19

ULASAN | Tidak dinafikan bahawa virus kecil Covid-19 telah pun menggegarkan satu dunia, dari sudut kesihatan, keselamatan, ekonomi dan sosial di setiap negara. Hari ini, setelah hampir 100 hari kita berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), negara kita kini berada di dalam fasa pemulihan krisis Covid-19. Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyokong tindakan kerajaan yang mengeluarkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa hingga 31 Ogos 2020 demi memulihkan ekonomi negara. Hakikatnya, serangan wabak Covid-19 telah menyebabkan perkembangan ekonomi negara kita terjejas teruk dan akibatnya ramai rakyat kita yang telah diberhentikan kerja. Nasib anak muda pula dilihat kelam dengan berdepan kemungkinan diberhentikan kerja pada bila-bila masa sahaja.

Berdasarkan laporan terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran melonjak kepada 5.0 peratus. Pengangguran meningkat 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 778.8 ribu orang. Penutupan operasi bagi sebahagian besar perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga April 2020 telah memberi kesan kepada kehilangan pekerjaan dan menyebabkan pencari kerja merasakan sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Jumlah pengangguran yang direkodkan itu (778.8 ribu orang) adalah yang paling tinggi sejak 34 tahun lalu. Kadar pengangguran tertinggi pernah dicatatkan di Malaysia adalah pada kadar 7.4 peratus pada tahun 1986. Namun, harus diberikan perhatian bahawa kadar penggangguran 5.0 peratus ini melangkaui kadar pengangguran rakyat Malaysia ketika krisis ekonomi Asia pada tahun 1998-1999 (3.9 peratus) dan kelembapan ekonomi dunia sekitar tahun 2007-2009 (4.1 peratus). Penduduk bekerja yang paling terjejas adalah di sektor pembuatan dan perkhidmatan iaitu penginapan dan makanan dan minuman; kesenian, hiburan dan rekreasi dan perkhidmatan lain seperti pusat kecantikan dan salon.

Kelembapan ekonomi

Dari sudut ekonomi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bertumbuh 0.7 peratus berbanding 3.6 peratus yang dicatatkan pada suku tahun keempat 2019. Pertumbuhan ini merupakan kadar pertumbuhan terendah yang dicatatkan semenjak suku tahun ketiga 2009, negatif 1.1 peratus. Pertumbuhan pada suku pertama ini didorong oleh pertumbuhan di sektor perkhidmatan, 3.1 peratus dan pembuatan, 1.5 peratus manakala sektor yang lain mengalami pertumbuhan negatif.

 Ekonomi negara bernasib baik kerana perbelanjaan penggunaan isi rumah masih meningkat iaitu sebanyak 6.7 peratus. Perbelanjaan utama yang dilakukan oleh isi rumah pada kali ini adalah terhadap penggunaan bahan asas seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan perumahan, air, dan elektrik. Manakala berlaku penurunan dalam perbelanjaan penggunaan petrol, perjalanan, rekreasi dan makanan di luar rumah. Pengurangan perbelanjaan oleh isi rumah tersebut secara langsung memberi kesan kepada industri yang berkaitan seperti industri makanan dan minuman, perhotelan, pengangkutan, sukan dan rekreasi. Oleh kerana itu, kerajaan Perikatan Nasional digesa mendengar rintihan rakyat berhubung isu peningkatan mendadak bil elektrik sewaktu tempoh PKP. Harus dipertimbangkan bahawa ekonomi negara turut bergantung dengan penggunaan bahan asas oleh rakyat seperti air dan elektrik.

DPIM berpandangan masalah pengangguran merupakan satu isu yang serius dan perlu ditangani dengan segera kerana ia boleh mengundang kepada masalah sosial lain yang lebih besar. Kehilangan pekerjaan di saat krisis ekonomi pasti akan memberikan kesan yang sangat besar kepada seseorang individu. Keadaan yang terdesak memungkinkan peningkatan masalah sosial dan kadar jenayah bakal berlaku di negara kita. Jika keadaan ini berlaku, maka rakyat pastinya hidup dalam keadaan yang sentiasa tertekan dan resah.

Penjana memacu ekonomi

Inisiatif kerajaan Perikatan Nasional melalui Penjana diharap bakal memberi manfaat kepada kira-kira tiga juta tenaga kerja melalui beberapa pelan perancangan yang komprehensif. Insentif yang disediakan kepada majikan diharapkan dapat mengekalkan pekerja sedia ada serta mengambil pekerja baharu. Keadaan ini diharapkan memberi nafas baru kepada golongan belia dan membuka peluang jawatan kosong kepada anak muda yang baru menamatkan alam pendidikan tinggi.

 Antara inisiatif yang memberi kesan secara langsung kepada pengganggur dan belia ialah Program Insentif Pengambilan Pekerja berjumlah RM1.5 bilion. Majikan atau syarikat akan menerima insentif kewangan untuk memberi pekerjaan kepada golongan penganggur dan belia. Insentif ini terbahagi kepada dua iaitu insentif RM800 sebulan bagi setiap pekerja sekiranya menggaji penganggur berumur di bawah 40 tahun dan RM1,000 sebulan selama enam bulan sekiranya menggaji penganggur berumur 40 tahun dan ke atas serta golongan orang kelainan upaya (OKU). Berdasarkan laporan Kementerian Kewangan, adalah dianggarkan kira-kira 300,000 pencari kerja akan mendapat manfaat melalui insentif itu.

Anak muda perlu proaktif

Inisiatif Penjana juga memberi ruang kepada golongan belia untuk meningkatkan lagi kemahiran dan kemampuan diri supaya dapat memenuhi keperluan pasaran kerja. Antara inisiatif tambahan yang disediakan melalui pelan pemulihan ekonomi ini ialah kerajaan memperuntukkan dana sejumlah RM2 bilion bagi program peningkatan kemahiran untuk mereka yang sedang menganggur dan juga golongan belia. Inisiatif ini merangkumi program latihan dan penempatan serta pelaksanaan kursus jangka pendek di institusi-institusi terpilih. Diharapkan inisiatif ini akan memberikan manfaat kepada sekitar 200,000 orang belia. DPIM berharap agar belia terus proaktif dan bersedia untuk menghadapi cabaran baru agar tidak ketinggalan pada waktu krisis seperti ini.

Selain daripada inisiatif seperti Penjana, dasar kerajaan untuk mengurangkan pekerja asing di negara ini adalah satu daripada kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah pengangguran. Sebagai contoh, Kementerian Wilayah telah memulakan inisiatif mengambil golongan gelandangan untuk bekerja dan mengurangkan penggunaan pekerja asing di pasar-pasar di Wilayah. Bagaimanapun, rakyat dan anak muda tidak boleh memilih pekerjaan pada waktu krisis sebegini. Kelangsungan hidup adalah perkara pokok yang perlu diberi perhatian. Anak muda di negara kita diyakini sebagai golongan yang kreatif. Kini ramai juga yang mengusahakan perniagaan atas talian dan ada juga yang memilih untuk menjadi pemandu e-hailing ataupun penghantar barang. Sama-sama kita berdoa agar negara kita keluar daripada krisis ekonomi.

Let’s prepare for the worst and hope for the best!


SHAHIR ADNAN ialah ketua Pemuda DPIM merangkap naib pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.